Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sijil halal produk bukan makanan: Muis pelajari skim negara lain

Sebahagian usaha bina daya tahan sistem pensijilan halal S’pura
Nov 22, 2024 | 3:43 PM
Timbalan Pengarah Pembangunan Halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Muhd Faizal Othman, berkata jika disediakan, pensijilan halal Muis bagi produk bukan makanan dan minuman mungkin diperkenalkan bagi tujuan eksport.
Timbalan Pengarah Pembangunan Halal Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Muhd Faizal Othman, berkata jika disediakan, pensijilan halal Muis bagi produk bukan makanan dan minuman mungkin diperkenalkan bagi tujuan eksport. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) akan mempelajari kepakaran negara lain yang mempunyai rejim pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman, seperti farmaseutikal dan kosmetik.

Ini sebahagian daripada usaha membina daya tahan sistem pensijilan halal di sini, yang dimulakan pada 1978, kata Timbalan Pengarah, Pembangunan Halal, Muis, Encik Muhd Faizal Othman.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini, Encik Faizal berkongsi bahawa Muis sedang meneroka skim pensijilan halal baru bagi produk bukan makanan dan minuman seperti kosmetik dan farmaseutikal di tengah-tengah permintaan semakin meningkat bagi produk halal sedang umat Islam berkembang di seluruh dunia.

Bagaimanapun, jika disediakan, pensijilan halal bagi produk bukan makanan dan minuman mungkin diperkenalkan bagi tujuan eksport.

Ini bagi membantu perniagaan yang ingin mengeksport produk mereka ke negara yang menetapkan syarat pensijilan halal bagi produk itu.

Buat masa ini, Muis mempunyai tujuh jenis skim pensijilan halal, kesemuanya bagi memenuhi pelbagai kategori industri makanan dan yang berkaitan dengan makanan.

“Kami mungkin melakukannya untuk tujuan mengeksport... Prosesnya mungkin lebih kurang serupa proses pensijilan halal bagi makanan dan minuman.

“Namun, kami akan mempelajari kepakaran negara lain dan melihat bagaimana ia boleh diterapkan dalam sistem kami,” kata Encik Faizal.

Indonesia, umpamanya, mempunyai undang-undang yang mewajibkan semua produk yang diedar dan diperdagangkan di negara itu mempunyai pensijilan halal.

Pada 2021, satu laporan Jakarta Globe mengatakan semua produk ubat-ubatan dan kosmetik yang diimport, diedar dan dijual di Indonesia mesti mempunyai sijil halal.

PENGIKTIRAFAN BERSAMA SIJIL HALAL DENGAN NEGARA LAIN

Dalam pada itu, Encik Faizal berkata minat dalam sistem pensijilan halal Singapura kian meningkat, dan negara seperti Qatar dan Vietnam telah melahirkan minat membina kerjasama dengan Muis bagi pengiktirafan bersama sijil halal antara Singapura dan negara mereka.

Muis telah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) berkaitan pengiktirafan sijil halal dengan pihak berkuasa halal rasmi di lima negara, iaitu Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Jordan, Maghribi dan Indonesia.

Ini bermakna Singapura dan lima negara itu saling mengiktiraf logo halal agensi rasmi satu sama lain, sekali gus memudahkan perniagaan mengeksport produk mereka, lantas meluaskan akses kepada produk itu.

Encik Faizal menjelaskan pada masa ini Muis mengiktiraf 101 sijil halal yang dikeluarkan badan swasta dari pelbagai negara. Ini adalah penting bagi perniagaan seperti restoran dan syarikat pembuatan produk yang ingin mendapatkan sijil halal Muis untuk menarik pelanggan Muslim.

Ia lebih kepada memenuhi keperluan domestik, memandangkan perniagaan yang ingin mendapatkan sijil halal Muis perlu menggunakan bahan yang mempunyai sijil halal yang diiktiraf Muis.

Memorandum Persefahaman (MOU) antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BJPJH) Kementerian Ehwal Agama Indonesia ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (duduk kiri), dan Pengerusi BPJPH, Dr Muhammad Aqil Irham (duduk  kanan), dengan disaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri) dan Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, pada 8 Ogos 2024.
Memorandum Persefahaman (MOU) antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BJPJH) Kementerian Ehwal Agama Indonesia ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Muis, Encik Kadir Maideen (duduk kiri), dan Pengerusi BPJPH, Dr Muhammad Aqil Irham (duduk kanan), dengan disaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (kiri) dan Duta Besar Indonesia ke Singapura, Encik Suryo Pratomo, pada 8 Ogos 2024. - Foto fail

Encik Faizal berkata MOU itu bukan memberi perniagaan tempatan akses ke pasaran asing sahaja, malah meningkatkan jaminan makanan di Singapura.

“Dengan MOU tersebut, kami mengiktiraf logo halal negara itu dan mereka juga mengiktiraf logo halal kami, yang bermakna perniagaan Singapura boleh eksport produk halal dengan sijil halal Muis.

“Melalui MOU itu, kami bukan hanya tingkatkan eksport produk halal ke luar negara, malah memperkukuh hubungan dua hala, belajar budaya dan diet satu sama lain.

“Dan apabila kami mengiktiraf sijil halal dan mengeksport produk ke negara satu sama lain, ini bermakna makanan dari negara lain dapat masuk ke Singapura, menambahkan lagi sumber makanan di negara ini,” kata beliau, sambil menambah bahawa Muis bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) serta agensi Enterprise Singapore bagi MOU tersebut.

PASARAN HALAL GLOBAL MAKIN BERKEMBANG

Islam adalah agama paling pesat berkembang di dunia, dengan terdapat sekitar 1.9 bilion Muslim sejagat pada 2020, menurut Pusat Penyelidikan Pew.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 2.8 bilion atau sekitar 30 peratus penduduk dunia menjelang 2050.

Menurut laman pengumpulan dan visualisasi data Statista, pasaran halal global bernilai lebih AS$2 trilion ($2.7 trilion) pada 2021, dengan berpotensi berkembang kepada sekitar AS$2.8 trilion menjelang 2025.

Di Singapura, pasaran makan halal domestik dianggarkan bernilai $1 bilion pada 2019, dengan $700 juta dibelanjakan oleh orang Islam tempatan, menurut laporan firma pakar runding gaya hidup pelancongan Muslim, CrescentRating, dan syarikat huraian teknologi pembayaran global, Mastercard.

Encik Faizal berkata ramai peniaga tempatan amat gembira mengenai lima MOU itu kerana ia membolehkan mereka mengeksport produk yang mempunyai sijil halal Muis dengan mudah dan lancar, serta pada kos lebih rendah atau tanpa kos tambahan.

Jenis produk halal yang dieksport juga pelbagai, termasuk perata, sate, dim sum dan susu bayi.

Bagi perniagaan berminat mengeksport produk mereka ke luar negara dengan logo halal, Encik Faizal berkata langkah pertama ialah memohon sijil halal, dan kemudian mematuhi syarat pensijilan halal itu untuk mengekalkan standard.

“Selain itu, perniagaan juga perlu memahami undang-undang dan budaya negara produk mereka akan dieksport.

“Apakah produk makanan yang ingin mereka eksport itu akan diterima masyarakat di sana? Contohnya, makanan dim sum yang dieksport ke Saudi mungkin tak dimakan oleh orang tempatan di sana, tetapi lebih untuk pelancong. Oleh itu, ini juga sesuatu yang mereka perlu fikirkan,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg