Lebih ramai warga Singapura berusaha sedaya upaya untuk membantu orang lain, menjadikan Presiden Tharman Shanmugaratnam, menaruh kepercayaan akan masa depan yang cerah buat negara ini.
Ini memandangkan kekuatan sesebuah negara pada akhirnya bersandarkan keutuhan dan matlamat hidup yang dapat setiap penduduk memberi nilai tambah dalam kehidupan satu sama lain.
Demikian jelas Tuan Presiden dalam satu hantaran Facebook pada 31 Disember, mengenang kembali tempoh 15 bulan beliau dilantik sebagai Presiden Singapura sejak September 2023.
“Setelah menjadi Presiden anda selama 15 bulan kini, ada sesuatu tentang rakyat Singapura yang membuatkan saya benar-benar yakin akan masa depan.
“Ramai orang berusaha gigih bagi membantu orang lain. Contohnya ada di sekeliling kita,” ujarnya dalam pesanan sempena Tahun Baru 2025.
Beliau berkongsi, antara lain, tentang seorang pelajar sekolah menengah, Mark Eli Fernando, yang pada usia 15 tahun, telah menyelamatkan nyawa seseorang.
Apabila mendapat tahu ada seseorang mengalami serangan jantung di kejiranannya, dia bergegas ke lobi lif berhampiran untuk mendapatkan Defibrilator Luaran Automatik (AED), alat yang dapat digunakan untuk memberi bantuan pernafasan kecemasan.
Fernando, seorang pelajar autisme dari Sekolah Pathlight, jelas Tuan Presiden, kemudian berlari menaiki anak tangga untuk membantu menyelamatkan lelaki itu.
Keistimewaan remaja ini terletak pada rasa tanggungjawabnya melakukan apa sahaja yang dia mampu bagi membantu orang lain termasuk menyelamatkan nyawanya.
Contoh kedua yang disebut Tuan Presiden ialah Dr Ain Azman, yang menjadi sukarelawan pada hujung minggu untuk membantu memperkasa golongan muda yang kurang bernasib baik.
Dr Ain memutuskan untuk menjadikan kerja bersama belia sebagai kerjaya sepenuh masanya.
Ada kalanya beliau bertugas sepanjang minggu selama tujuh hari untuk membantu golongan muda memupuk rasa yakin akan kebolehan mereka dan meningkatkan lagi cita-cita mereka.
“Beliau juga belajar bermain bola sepak pada usia lewat 20-an tahun agar dapat berhubung dengan mereka (belia) di padang bola. Dr Ain sebenarnya boleh memilih pelbagai kerjaya lain, dengan latar belakangnya dalam kejuruteraan bioperubatan.
“Tetapi beliau memilih melakukan sesuatu yang dirasakannya memberi makna terbesar dalam hidupnya, serta memberi makna kepada orang lain,” kata Tuan Presiden.
Contoh ketiga yang dikongsi ialah kisah Cik Jenny Wong, 65 tahun, sukarelawan cemerlang di perpustakaan awam dan hospital.
Cik Wong meluangkan lebih 1,200 jam untuk kerja sukarela dalam setahun – lebih lama daripada kebanyakan orang buat sepajang hayat mereka, ujar Tuan Presiden.
Cik Wong juga menjadi contoh tentang cara kekal aktif pada setiap usia.
“Secara bersama, ketiga-tiga individu ini “menunjukkan kepada kita bagaimana setiap daripada kita boleh menjadi seseorang yang istimewa kepada orang lain di kawasan kejiranan atau dalam komuniti kita secara lebih meluas supaya kita menambah arah tuju kehidupan satu sama lain dan kita membawa diri kita lebih rapat lagi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg