Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Silap kira subsidi, geran MOH sebabkan lebihan bayaran $7j

Jul 22, 2025 | 4:54 PM
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata bahawa kesilapan itu menyebabkan kelebihan bayaran sebanyak sekitar $7 juta bagi kira-kira 90 peratus individu yang terjejas.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata bahawa kesilapan itu menyebabkan kelebihan bayaran sebanyak sekitar $7 juta bagi kira-kira 90 peratus individu yang terjejas. - Foto fail

Kementerian Kesihatan (MOH) pada 22 Julai mengesahkan bahawa isu yang menyebabkan kesilapan pemprosesan dalam Sistem Ujian Kelayakan Isi Rumah (Homes) yang mengakibatkan sekitar 20,000 orang menerima subsidi dan geran yang salah telah dikenal pasti.

Menurut MOH, yang menguruskan sistem Homes, kesilapan itu menyebabkan lebih kurang $7 juta lebihan bayaran kepada kira-kira 90 peratus individu yang terlibat, dan sekitar $2 juta kekurangan bayaran bagi baki individu yang terjejas, lapor The Straits Times (ST).

Pada 21 Julai, MOH melaporkan bahawa Homes mengalami isu pemprosesan yang menyebabkan kira-kira 20,000 orang menerima subsidi dan geran yang salah. 

Kementerian itu menambah bahawa individu yang menerima jumlah subsidi atau geran yang berlebihan tidak perlu mengembalikannya, manakala mereka yang menerima jumlah yang berkurang daripada sepatutnya akan menerima tambahan daripada agensi pemerintah menjelang November.

Homes menggunakan maklumat pendapatan daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) untuk menguji kelayakan individu yang mempunyai pendapatan perniagaan, seperti pekerja sendiri, untuk skim subsidi tertentu.

Bagi penilaian 2025, proses pemberitahuan pengisytiharan cukai Iras bermula lewat pada pertengahan Januari, berbanding pada Disember tahun sebelumnya, kata MOH. 

Ini dilakukan untuk memastikan caruman kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) sepanjang tahun penuh diambil kira bagi penilaian cukai yang lebih tepat.

Namun, “logik sistem” pada masa itu menyebabkan Homes terlepas pendapatan perniagaan individu terpilih. Ini mengakibatkan ujian kelayakan yang tidak tepat bagi individu yang mempunyai pendapatan perniagaan dan anggota isi rumah mereka antara 1 Januari dengan 27 Januari 2025.

MOH berkata bahawa Homes kali pertama dimaklumkan mengenai isu itu pada 13 Januari menerusi pertanyaan orang awam ketika memohon subsidi, yang mendorong siasatan dan akhirnya mengenal pasti isu tersebut.

Kementerian itu menambah bahawa mereka kini sedang memperbaiki reka bentuk Homes untuk penyepaduan dan penyelarasan yang lebih baik dengan agensi terlibat.

Dalam kejadian serupa pada 2019, sekitar 7,700 orang yang memohon dan memperbaharui kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) pada September dan Oktober 2018 menerima subsidi yang tidak tepat apabila sistem komputer silap mengira keputusan ujian kelayakan mereka.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg