Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

MOH: 20,000 terima subsidi, geran tidak tepat dek isu pemprosesan

Jul 21, 2025 | 8:03 PM
subsidi, geran, MOH
Satu isu pemprosesan dalam Sistem Ujian Kelayakan Isi Rumah (Homes) telah menyebabkan penilaian kelayakan yang tidak tepat bagi sekitar 20,000 individu, kata Kementerian Kesihatan (MOH), pada 21 Julai. - Foto ST

Sekitar 20,000 individu menerima subsidi dan geran yang tidak tepat akibat isu pemprosesan dalam sistem ujian kemampuan pemerintah.

Kementerian Kesihatan (MOH), yang menguruskan Sistem Ujian Kelayakan Isi Rumah (Homes), berkata pada 21 Julai bahawa pembetulan terhadap tahap subsidi dan geran sedang dijalankan.

MOH turut berkata penilaian semula terhadap individu yang terjejas telah selesai, lapor The Straits Times (ST).

Menurut MOH, kebanyakan daripada mereka yang terjejas menerima lebih banyak subsidi dan geran daripada yang sepatutnya.

Namun, mereka tidak perlu memulangkan jumlah lebihan subsidi atau geran yang telah diberikan.

Sementara itu, mereka yang menerima kurang daripada jumlah yang sepatutnya akan menerima bayaran tambahan daripada agensi pemerintah dan pembayaran balik itu dijangka akan diberikan menjelang November 2025.

MOH berkata ia akan menyesuaikan semula ujian kemampuan dan tahap subsidi bagi individu yang terjejas pada peringkat yang sepatutnya mulai 21 Julai.

Homes ialah sistem yang menggunakan maklumat pendapatan daripada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) untuk menilai kemampuan individu yang mempunyai pendapatan perniagaan.

Sistem itu menyediakan keputusan ujian kemampuan untuk beberapa skim subsidi terpilih yang ditawarkan oleh pemerintah.

Menjelaskan isu pemprosesan tersebut, MOH berkata Homes gagal mengambil kira pendapatan perniagaan beberapa individu secara tepat selepas berlakunya perubahan jadual pemprosesan data pada Januari 2025.

Hal itu menyebabkan kesilapan dalam keputusan ujian kelayakan bagi individu dan anggota keluarga tersebut antara 1 Januari dengan 27 Januari, kata MOH.

MOH menambah bahawa 20,000 orang yang terjejas itu merupakan kurang 3 peratus daripada semua individu yang dinilai kelayakannya untuk subsidi sepanjang tempoh tersebut.

Berdasarkan jumlah itu, sekitar 19,000 orang terjejas di bawah skim MOH, manakala sekitar 1,000 individu terjejas di bawah skim lain yang dikendalikan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

Skim MOH yang terjejas dek isu pemprosesan:

  1. Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas)
  2. Subsidi premium CareShield Hayat atau MediShield Hayat, serta Sokongan Premium Tambahan
  3. Subsidi untuk perkhidmatan jagaan jangka panjang
  4. Dana Mobiliti dan Pengupayaan Warga Emas
  5. Skim Sewa Peralatan
  6. Geran Penjagaan di Rumah
  7. ElderFund
  8. Subsidi di institusi penjagaan kesihatan awam bagi pembedahan harian, perkhidmatan pesakit di dalam hospital, klinik pakar pesakit tanpa perlu dimasukkan ke wad, ubat atau vaksin di poliklinik dan perkhidmatan hospital masyarakat.

Skim agensi pemerintah lain yang terjejas:

  1. Subsidi Prasekolah dan Skim Campur Tangan Awal Ecda
  2. Skim DigitalAccess@Home IMDA
  3. Geran Pendidikan Tinggi dan Subsidi Tambahan Kindergarten Care MOE
  4. Skim subsidi MSF termasuk Pengangkutan, Skim Subsidi Teksi dan Dana Teknologi Bantuan

MOH menambah bahawa agensi terlibat akan menghubungi individu yang terjejas secara bertahap.

Individu tidak perlu mengambil sebarang tindakan buat masa ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg