Penduduk Choa Chu Kang yang menjalani rutin harian mereka pada petang 8 September dikejutkan dengan persembahan silat secara spontan di hadapan pintu masuk pusat beli-belah Lot One.
Demikian dipaparkan dalam satu video Instagram dikeluarkan akaun rasmi kawasan undi Keat Hong pada 11 September.
Persembahan itu menunjukkan orang ramai memerhatikan dan memetik gambar sekumpulan pesilat di ruang awam antara Lot One dengan ruang masuk stesen MRT Choa Chu Kang.
Menurut kapsyen video tersebut, yang kini mempunyai lebih 600 ‘like’, persembahan silat itu merupakan satu flash mob sempena Bulan Bahasa 2024.
Istilah flash mob merujuk kepada kegiatan yang dilakukan beramai-ramai secara rentak.
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, turut memuat naik video tersebut di akaun TikToknya.
Beliau melahirkan penghargaan kepada pesilat daripada kumpulan Seligi Tunggal Singapura dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat Keat Hong yang menganjurkan persembahan silat itu.
Dalam video itu, guru silat Seligi Tunggal Singapura, Encik Abdul Hamid Jonid, kelihatan memulakan persembahan silat sambil lagu ‘Mentera Semerah Padi’ oleh M. Nasir dimainkan.
Lama-kelamaan, semakin ramai anggota kumpulan itu masuk ‘gelanggang’ dan mengambil bahagian dalam persembahan silat itu.
Apabila ditemui Berita Harian (BH), Pengerusi MAEC Kelab Masyarakat Keat Hong, Encik Imran Ahmad, berkata persembahan itu melibatkan seramai 50 anggota Seligi Tunggal Singapura daripada pelbagai lapisan usia.
Encik Imran, yang juga pengarah artistik Bulan Bahasa @ Keat Hong selama 11 tahun, berkata pilihan masa dan lokasi untuk persembahan silat itu mesti tepat bagi menarik perhatian orang ramai secara semula jadi.
“Kami memilih untuk melakukannya (persembahan silat) pada 4 petang kerana ia beberapa jam sebelum waktu makan malam – tidak terlalu sibuk dan tidak terlalu lengang.
“Kawasan di depan Lot One dipilih kerana ia cukup luas dan ia dilalui orang ramai yang ingin ke pusat pertukaran bas dan stesen MRT. Di samping itu, Kelab Masyarakat Keat Hong terletak di seberang jalan, jadi lokasi pilihan agak menonjol,” jelas Encik Imran.
Beliau juga berkongsi MAEC Kelab Masyarakat Keat Hong mendapat izin daripada pihak Lot One dan SMRT untuk mengadakan flash mob silat itu.
Persembahan silat itu, menurut Encik Imran, dipilih sebagai acara pembuka untuk sambutan Bulan Bahasa di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 14 September.
Tambahnya, persembahan tersebut bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai kepada lokasi, di mana kakitangan Kelab Masyarakat Keat Hong menghulurkan risalah tentang sambutan Bulan Bahasa @ Keat Hong.
Bertemakan ‘Desa Keat Hong Sambut Bulan Bahasa’, acara itu berjaya menarik sekitar 2,000 hadirin dan peserta.
Ditanya tentang harapannya untuk acara Bulan Bahasa @ Keat Hong, Encik Imran berkata:
“Setiap acara Bulan Bahasa anjuran Kelab Masyarakat Keat Hong bertujuan mendekati keluarga.
“Kami ingin penggunaan bahasa bermula dari rumah, jadi asasnya tertumpu kepada peranan keluarga sebagai penggalak bahasa.”
Bermula dari 10 pagi hingga 10 malam, acara Bulan Bahasa @ Keat Hong menampilkan tiga program utama, iaitu pertandingan silat, peraduan berpidato Petah Spontan 2.0 dan konsert Bulan Bahasa.
Selaras dengan tema acara, Encik Imran berkata persembahan silat yang menjadi tular itu dan sambutan Bulan Bahasa bertujuan mengetengahkan semangat gotong-royong.
“Tema itu dipilih kerana kami rasa semangat kekampungan memaparkan budaya Melayu dengan baik, ini termasuk acara pertandingan silat yang diadakan dan pertandingan Petah Spontan di mana peserta harus berpidato secara spontan menggunakan bahasa Melayu,” ujar Encik Imran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg