Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sim Ann: Latihan antipengganasan erat ikatan masyarakat

Latihan Heartbeat anjuran Pasukan Polis Singapura dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura diadakan di CQ @ Clarke Quay pada 3 Nov
Nov 4, 2025 | 4:08 PM
Latihan Heartbeat, CQ @ Clarke Quay
Latihan Heartbeat telah diadakan di CQ @ Clarke Quay pada 3 November, buat pertama kali sejak 2017. - Foto ST

Lebih ramai orang mungkin cedera andainya seorang anggota masyarakat yang peka tidak terlihat beg yang ditinggalkan di CQ @ Clarke Quay.

Lelaki itu telah memaklumkan Pegawai Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (Cert) CQ, yang segera mengosongkan kawasan tersebut apabila beg itu mula mengeluarkan asap.

Sementera menunggu ketibaan polis, seorang pegawai Cert menggunakan pemadam api untuk memadamkan asap dari beg tersebut.

Ketika ancaman itu hampir dihapuskan, bunyi dentuman kuat pula terdengar dari jalan masuk berhampiran, daripada sebuah kereta yang merempuh tonggak jalan.

Orang awam cuba membantu pemandu dan seorang penumpang dalam kereta tersebut, tetapi melarikan diri apabila pemandu itu mengejar mereka dengan sebilah parang.

Mujur, kekecohan dan kekeliruan pada pagi 3 November itu hanyalah sebahagian daripada satu latihan serangan pengganas yang disimulasikan, lapor The Straits Times (ST).

Latihan Heartbeat dianjurkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Ia diadakan di CQ @ Clarke Quay buat kali pertama sejak 2017.

Lebih 80 peserta, termasuk Pasukan Respons Kecemasan (ERT) SPF, pegawai respons di lapangan, paramedik, dan pihak-pihak berkepentingan, telah bertindak terhadap “serangan pengganas” di CQ itu, yang terkenal dengan perniagaan dan restoran yang dibuka hingga malam.

Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sim Ann, telah menyaksikan latihan tersebut.

Beliau gembira melihat penyelarasan yang berkesan antara pelbagai jabatan Home Team dengan rakan kongsi daripada CQ.

Cik Sim berkata: “Sangat penting bagi pelbagai pihak berkepentingan untuk bekerjasama dalam menjalankan senario terhadap perkara yang berpotensi menjadi ancaman, kerana ini boleh mengeratkan ikatan masyarakat kita.

“Ini juga membolehkan kita memeriksa kesesuaian rancangan kita, dan ia benar-benar membantu meningkatkan keberkesanan tindak balas bersama kita semasa krisis.

“Saya ingin menggalakkan lebih ramai rakan masyarakat dan komersial, supaya menyertai skim Kumpulan Pengawasan Keselamatan dan Keamanan SPF.”

Dalam latihan itu, keadaan menjadi kacau-bilau apabila pelancong, pekerja, dan orang awam lari daripada pemandu kurang siuman yang menyerang beberapa orang dengan parang. 

Beberapa orang yang melarikan diri menggunakan telefon bimbit untuk melaporkan serangan pengganas itu serta mengikut nasihat SGSecure iaitu “Run, Hide, Tell” (Lari, Sembunyi, Beritahu).

Pegawai polis yang tiba menemui keadaan huru-hara dengan mangsa cedera bergelimpangan.

Dengan sokongan ERT, mereka kemudian menangkap lelaki bersenjata itu. Penumpang kereta itu pula digari.

Namun, ia belum berakhir. Seorang pengganas bertindak bersendirian yang telah meninggalkan beg tersebut, datang kembali dan melepaskan tembakan pistol ke arah orang ramai di CQ.

Keadaan semakin tegang, apabila lelaki itu mengambil tebusan dan mengancam untuk membunuhnya jika polis mendekati.

Pegawai polis membentuk sekatan di sekeliling lelaki tersebut.

Seorang lelaki bersenjata yang mengambil tebusan dalam Latihan Heartbeat di CQ @ Clarke Quay pada 3 November.
Seorang lelaki bersenjata yang mengambil tebusan dalam Latihan Heartbeat di CQ @ Clarke Quay pada 3 November. - Foto ST

Tanpa diketahui pengganas itu, sebuah pasukan unit khas polis juga telah mendekati.

Saat tebusan itu melarikan diri ke tempat selamat, seorang pegawai daripada unit khas itu melepaskan dua tembakan ke arah pengganas tersebut.

Dengan kawasan itu kini selamat dan suspek ditangkap, paramedik SCDF memberi rawatan kepada para mangsa sambil dilindungi polis.

Mangsa yang cedera dibawa ke kawasan berhampiran untuk diberi rawatan mengikut tahap kecederaan mereka.
Mangsa yang cedera dibawa ke kawasan berhampiran untuk diberi rawatan mengikut tahap kecederaan mereka. - Foto ST

Beberapa latihan berkaitan keselamatan telah dijalankan di peringkat masyarakat oleh Home Team sejak 2015.

Latihan Heartbeat telah diadakan setiap tahun selama lebih sedekad.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Komersial CapitaLand Investment, Encik Ervin Yeo, berkata beliau menyedari CQ adalah tempat yang unik dan “agak terbuka” dengan ramai orang dan banyak jalan masuk.

Untuk menghadapi ketidakpastian, CQ mempunyai pasukan keselamatan terlatih yang tahu tentang pelbagai jalan masuk dan ruang kelemahan di kawasan itu.

“Jika penyewa kedai melihat kegiatan mencurigakan atau pergaduhan, mereka telah dinasihatkan supaya memaklumkan pasukan keselamatan kami,” kata Encik Yeo.

Pegawai penguatkuasa undang-undang akan dimaklumkan untuk menangani situasi tersebut.

“Saya rasa pesanannya ialah jika anda nampak sesuatu, laporkan. Tetapi buat penilaian yang tepat sebelum terlibat secara fizikal, kerana ada orang yang terlatih untuk menangani perkara seperti itu,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg