Simba Telecom dan M1 berkata mereka akan terus menawarkan pelan mudah alih bernilai $10 dan $12 kepada pelanggan baru sekurang-kurangnya dua tahun selepas cadangan penggabungan antara Simba dengan M1 ditetapkan.
Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu juga berjanji mengekalkan harga sedia ada untuk pelanggan pelan mudah alih bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun selepas proses penggabungan – yang diumumkan pada Ogos lalu – diselesaikan.
Komitmen tersebut, yang dinyatakan dalam saranan kepada Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), telah diterbitkan di laman web pengawal selia itu pada 1 Oktober 2025.
“Langkah ini bertujuan memastikan pelan mudah alih, yang kini sebahagian penting dalam kehidupan harian, kekal mampu milik,” berdasarkan cadangan itu.
Dalam kertas rundingan awam yang dikeluarkan pada 1 Oktober, IMDA turut meminta pandangan industri dan orang ramai sama ada penggabungan tersebut boleh mengurangkan daya saing antara syarikat telekomunikasi di sini.
Keppel mengumumkan pada 11 Ogos, ia akan menjual perniagaan telekomunikasi anak syarikatnya, M1, kepada pesaingnya, Simba, pada harga $1.43 bilion.
Ini merupakan penggabungan syarikat telekomunikasi yang pertama dalam sejarah Singapura.
IMDA, dalam kertas rundingannya, menyatakan:
“Responden juga dijemput mengulas mengenai isu lain yang berkaitan – dengan sokongan fakta dan analisis bersebab seberapa boleh – yang tidak dinyatakan dalam dokumen ini, sekiranya mereka percaya isu tersebut relevan bagi penilaian IMDA terhadap cadangan transaksi membabitkan pemohon.”
Rundingan awam itu akan ditutup pada 9 pagi, 31 Oktober.
M1 turut memberi jaminan akan menunaikan semua kontrak dan komitmen sedia ada.
Sebagai contoh, pelanggan semasa pengendali rangkaian maya mudah alih (MVNO) M1 tidak akan terjejas.
Syarikat telekomunikasi tempatan, Circles.Life, merupakan salah satu MVNO tersebut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg