Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Simpanan awal, ambil tempahan kecilan bantu harungi gerai tutup

Jul 26, 2024 | 7:00 PM
Cik Subaidah Saibe, pembantu gerai D’ Original Bumbu, akan menggunakan wang simpanan untuk menampung keperluannya ketika penutupan Pasar Geylang Serai.
Cik Subaidah Saibe, pembantu gerai D’ Original Bumbu, akan menggunakan wang simpanan untuk menampung keperluannya ketika penutupan Pasar Geylang Serai. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Menabung secara konsisten dan mencari cara menambah pendapatan.

Ini yang dilakukan oleh Cik Subaidah Saibe, 61 tahun, sebagai persiapan menempuhi “waktu rehat” dalam perniagaan yang dibantunya berikutan penutupan Pasar Geylang Serai sehingga Oktober nanti.

Cik Subaidah yang membantu menguruskan gerai makan D’ Original Bumbu yang dimiliki mak ciknya, berkata rancangannya adalah untuk bersandarkan kepada wang simpanannya yang sudah dikumpul sejak 2019.

Untuk menambah dana simpanannya, beliau telah mengambil langkah untuk menerima tempahan katering secara kecilan pada hujung minggu sejak beberapa bulan lalu, di samping meneruskan operasi D’ Original Bumbu seperti biasa.

“Saya cuba usaha untuk dapatkan sekurang-kurangnya dua tempahan sebulan dan saya hanya menerima tempahan untuk 100 hingga 200 orang mengikut kemampuan saya.

“Hasil pendapatan ini diketepikan untuk wang simpanan saya,” ujar Cik Subaidah, yang percaya bahawa tempahan secara konsisten ini mampu membantu beliau dalam jangka masa panjang.

Beliau yang mengamalkan sikap menabung sejak pemergian suaminya pada 2019, berkata:

“Sebelum ini, suami saya yang menguruskan kewangan keluarga, namun selepas beliau meninggal, saya sedar terdapat banyak keperluan yang perlu saya selesaikan.

“Dengan itu, saya mengambil keputusan untuk mula menyimpan wang,” kata Cik Subaidah, yang telah berkhidmat di gerai makan D’ Original Bumbu bersama suaminya sejak tapak pasar Geylang Serai sementara.

Beliau membantu mak ciknya yang sudah lanjut usia, dalam lingkungan 80 tahun, mengendalikan perniagaan gerai itu yang dibuka pada setiap Khamis hingga Ahad.

Walaupun sudah berkecimpung dalam perniagaan makanan buat tempoh masa yang lama, beliau berpendapat ia bukanlah perkara yang mudah.

Cik Subaidah mengatakan bahawa biasanya beliau akan mula bekerja seawal 2 pagi untuk menyiapkan juadah di gerainya dan hanya akan pulang pada 4 petang.

Tambahan itu, beliau akan membuka gerai pada hari cuti umum jika ia jatuh pada hari cuti gerai mereka untuk menambah pendapatannya yang mampu disalurkan kepada dana simpanannya.

Usaha awal Cik Subaidah dalam merancang kewangannya telah mempersiapkan dirinya untuk menghadapi tiga bulan akan datang dengan tenang.

“Ini merupakan waktu untuk saya rehat.

“Waktu seperti ini saya boleh pergi bercuti dan meluangkan hujung minggu dengan anak saya,” tambah beliau, yang ingin meluangkan lebih banyak masa bersama anak perempuannya yang berusia 33 tahun.

Beliau juga ingin memanfaatkan waktu rehatnya supaya mampu mencapai tahap kesihatan yang lebih baik dan dapat memberikan yang terbaik untuk pelanggannya pada masa hadapan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg