Dalam sebuah bilik sejuk besar berkeluasan sepertiga daripada saiz Padang, stok ayam beku disimpan dalam barisan kotak karton sebagai sebahagian usaha Singapura memastikan keselamatan makanan negara.
Kemudahan seluas 13,500 meter persegi itu berukuran sekitar 90 meter panjang dan 10 meter tinggi, dengan suhu ditetapkan serendah -23 darjah Celsius, serta mampu menampung sehingga 20,500 palet.
Diuruskan oleh syarikat rantaian bekalan dan logistik YCH Group, kemudahan itu merupakan antara tapak simpanan stok makanan di Singapura.
Selain ayam beku, tapak simpanan seperti ini turut menyimpan produk makanan lain termasuk makanan dalam tin serta beras, meskipun buat masa ini undang-undang hanya mewajibkan penyimpanan stok beras.
Simpanan stok makanan merupakan salah satu tonggak dalam strategi keselamatan makanan Singapura, selain daripada mempelbagaikan import, meningkatkan hasil pengeluaran tempatan dan kerjasama sejagat.
Ini bertujuan menangani gangguan yang disebabkan oleh faktor seperti perubahan iklim, pandemik dan geopolitik, menurut Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, semasa lawatan pada 22 Oktober ke bilik sejuk besar di lokasi yang tidak didedahkan.
“Kami telah mengembangkan strategi simpanan stok makanan untuk memenuhi keperluan semasa serta mengambil kira ancaman atau gangguan yang mungkin berlaku pada masa akan datang,” kata Encik Zaqy.
Simpanan stok makanan semasa juga merangkumi sumber protein seperti ayam, tambah beliau.
Menyimpan stok makanan asas dapat membantu melindungi negara daripada gangguan dalam rantaian bekalan – yang antaranya boleh disebabkan oleh corak cuaca tidak menentu akibat perubahan iklim.
Merujuk kepada sekatan eksport ayam yang dikenakan Malaysia selama beberapa bulan pada 2022 kerana menghadapi cabaran memenuhi permintaan ayam sendiri, Encik Zaqy berkata Singapura tidak boleh mengambil ringan terhadap bekalan makanan negara.
“Stok simpanan kita penting kerana sebagai pemerintah yang bertanggungjawab, kami perlu merancang ke depan, sama ada menghadapi gangguan akibat pandemik, Covid, atau sekatan makanan,” jelas beliau.
Perancangan juga perlu mengambil kira kemungkinan kesan perubahan iklim yang boleh menjejas pertanian serta gangguan akibat geopolitik, yang “telah kita saksikan… di Ukraine,” tambah Encik Zaqy.
Singapura sentiasa memantau keadaan keselamatan makanan kerana keperluan mungkin berubah dan teknologi baru mungkin berkembang, ujar beliau.
Media turut dibawa melawat tapak simpanan stok makanan itu menjelang Minggu Agri-Makanan Antarabangsa Singapura (Siaw) 2025 pada November.
Rang Undang-Undang Perlindungan dan Keselamatan Makanan (FSSB), yang diluluskan di Parlimen pada 8 Januari, membolehkan Singapura memperluas langkah-langkah simpanan stok negara, lapor The Straits Times (ST).
Namun buat masa ini, tiada rancangan meluaskan keperluan penyimpanan stok makanan selain beras, kata mantan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, di Parlimen pada Januari.
Encik Zaqy berkata sama ada keperluan itu akan diperluaskan untuk merangkumi jenis makanan lain selain beras, bergantung kepada penilaian risiko yang dilakukan Singapura berdasarkan keperluan semasa.
Selain simpanan stok makanan, beliau menekankan tonggak lain dalam memastikan keselamatan makanan negara.
“(Simpanan stok makanan) melengkapkan usaha kami dalam meningkatkan pengeluaran tempatan, mempelbagaikan import makanan, serta mengukuhkan kerjasama sejagat di serata dunia untuk memastikan Singapura mempunyai akses selamat dan terjamin terhadap makanan,” katanya.
Singapura kini mengimport lebih 90 peratus keperluan makanannya dari 187 negara dan rantau.
Negara ini juga menyasarkan untuk menghasilkan 30 peratus daripada keperluan makanan negara, secara tempatan menjelang 2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg