Topik diikuti
Pergi ke BHkuSinda anjur bengkel perkasa wanita dengan pengetahuan kesihatan
Himpun lebih 100 peserta dari tiga masjid, kongsi maklumat praktikal dalam suasana selesa
Satu bengkel yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang isu kesihatan wanita telah diadakan pada 16 Ogos.
Bengkel tersebut turut menggalakkan penjagaan kesihatan melalui pencegahan serta membekalkan para peserta dengan pengetahuan praktikal untuk membuat keputusan tepat mengenai kesejahteraan diri mereka.
Acara yang dianjurkan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda) dengan kerjasama Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA) itu telah diadakan di Masjid Darul Makmur di Yishun.
Bengkel tersebut secara khususnya menyasarkan wanita India Muslim berbahasa Tamil yang berusia antara 35 dengan 60 tahun, dan telah menghimpunkan seramai sekitar 100 peserta dari Masjid Darul Makmur, Masjid An-Nahdhah (yang terletak di Bishan) dan Masjid Kassim (yang terletak di Kembangan).
Bengkel itu mahu menyediakan peserta dengan maklumat kesihatan dalam suasana yang mudah diakses dari segi budaya dan bahasa.
Menurut satu kenyataan media oleh Sinda pada 16 Ogos, bengkel tersebut merupakan program kedua di bawah kerjasama Sinda dan IMSSA, selepas Bengkel Celik Kewangan yang diadakan pada April.
Kerjasama tersebut menyokong usaha pemerkasaan wanita oleh Sinda yang lebih menyeluruh melalui inisiatif Let Her Shine!.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Anggota Parlimen (AP) bagi GRC West Coast–Jurong West dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif Sinda, Dr Hamid Razak, serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sinda, Encik Anbarasu Rajendran.
Ceramah kesihatan wanita itu pula disampaikan oleh Dr Vanaja Kalaichelvan, Konsultan Kanan, Divisyen Perubatan Fetal Maternal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi di Hospital Universiti Nasional (NUH).
Berucap sewaktu bengkel tersebut, Dr Hamid berkata:
“Kesihatan wanita merupakan bahagian penting dalam membina keluarga yang kukuh dan berdaya tahan.
“Perkara ini amat relevan ketika Singapura berdepan dengan cabaran demografi yang lebih luas, termasuk Jumlah Kadar Kesuburan (TFR) yang semakin menurun.
“Walaupun keputusan berkaitan perkahwinan dan menjadi ibu bapa merupakan perkara yang sangat peribadi, kita boleh memastikan wanita mempunyai akses kepada maklumat kesihatan yang boleh dipercayai dan mendapat sokongan untuk menjaga kesihatan mereka pada setiap peringkat kehidupan.”
Antara perkara yang dicerahkan sewaktu bengkel tersebut termasuk perihal kesihatan wanita merentas peringkat kehidupan seperti fasa awal dewasa, kesihatan reproduktif, kesihatan ibu serta perimenopaus dan menopaus.
Selain itu, mitos atau salah tanggapan tentang kesihatan dan perbincangan seputar kesihatan wanita yang celik terhadap sensitiviti budaya juga turut dibangkitkan.
“Keperluan kesihatan wanita berubah pada peringkat kehidupan yang berbeza, sebab itulah kesedaran dan penjagaan pencegahan amat penting.
“Membawa perbincangan seperti ini ke tempat yang sudah biasa dikunjungi masyarakat seperti masjid, juga dapat menjadikan maklumat kesihatan lebih mudah diakses serta menyediakan suasana yang selesa bagi wanita bertanya soalan secara terbuka.
“Dengan memahami kesihatan mereka, mengenal pasti kebimbangan pada peringkat awal dan mengetahui bila mereka perlu mendapatkan nasihat perubatan, wanita boleh membuat keputusan yang lebih bermaklumat untuk diri sendiri dan keluarga mereka,” kata Dr Kalaichelvan.
