Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Singapore Oceanarium dibuka di Sentosa pada 23 Jul

Lambang proses transformasi berani hasilkan institut kelautan kelas dunia
May 26, 2025 | 8:09 PM
Singapore Oceanarium adalah tiga kali lebih besar daripada pendahulunya, Akuarium S.E.A., dan mempunyai 22 zon.
Singapore Oceanarium adalah tiga kali lebih besar daripada pendahulunya, Akuarium S.E.A., dan mempunyai 22 zon. - Foto RESORT WORLD SENTOSA

Singapore Oceanarium, yang sebelum ini dikenali sebagai S.E.A. Aquarium, akan dibuka pada 23 Julai, selepas tiga bulan diubah elok.

Kemudahan itu mempunyai ruang tiga kali lebih besar daripada akuarium sebelumnya dan akan menampilkan 22 zon, jelas resort bersepadu, Resorts World Sentosa (RWS), dalam satu kenyataan pada 26 Mei.

“Lebih daripada setakat nama baru, Singapore Oceanarium, melambangkan satu proses transformasi berani untuk menjadi institut lautan kelas dunia yang akan mencetus inspirasi bagi menyelami ilmu, rasa cinta dan bertindak lebih mendalam bagi lautan kita,” jelas kenyataan tersebut.

Pengunjung akan berpeluang melihat pelbagai ruang lautan – daripada perairan cetek hingga ke laut dalam – serta meneroka lautan dalam pelbagai tempoh masa, dari era prasejarah hingga ke zaman kini.

Salah satu pameran ialah Ocean Wonders, yang menjadi ruang habitat terbesar dunia bagi hidupan laut seperti ‘moon jelly’ dan ubur-ubur.

Tangki ‘kreisel’ pula ialah tangki khas yang digunakan untuk memelihara hidupan laut yang halus seperti ubur-ubur.

Satu lagi pameran, Singapore’s Coast, pula menampilkan landskap yang diilhamkan daripada hutan bakau serta habitat interaktif yang menampilkan kepelbagaian unsur biologi asli.

Di zon ‘Lautan Terbuka’, pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat ikan pari manta, terumbu karang dan jerung zebra berenang bersama ribuan haiwan laut lain di sebalik panel tatapan pengunjung selebar 36 meter.

Oseanarium ini juga bekerjasama dengan institusi akademik terkemuka untuk “mengembangkan sempadan penyelidikan laut”, kata RWS.

Antara yang diusahakan termasuk penyelidikan gunaan selama lima tahun bersama Universiti Nasional Singapura (NUS) dan kerjasama penyelidikan dua tahun bersama Balai Cerap Bumi Singapura (EOS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) untuk meninjau daya tahan iklim dan pemuliharaan laut.

Bersebelahan oseanarium itu, terdapat pusat penyelidikan dan pembelajaran yang dilengkapi dengan makmal pembelajaran, ruang kerjasama, bilik seminar dan ruang acara di atas bumbung.

Pusat penyelidikan dan pembelajaran itu memperkukuh tawaran pendidikan Singapore Oceanarium dan menyediakan kemudahan canggih untuk saintis dan penyelidik menjalankan kerja penyelidikan yang bernilai serta menggerakkan program penyebaran sains kelautan di lokasi.

“Singapore Oceanarium mewakili sempadan baru dalam pendidikan dan pelestarian laut,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RWS, Encik Tan Hee Teck.

“Kami bukan sekadar mewujudkan satu destinasi, tetapi satu pemangkin perubahan, tempat di mana rasa ingin tahu berubah menjadi pengetahuan, dan pengetahuan menjadi tindakan nyata,” jelasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg