Perbelanjaan pelancongan di Singapura dijangka mencecah antara $47 bilion dengan $50 bilion menjelang 2040, iaitu kira-kira 1.7 kali ganda angka 2024, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, pada 11 April.
Pada 2024, negara ini mencatat resit pelancongan tertinggi sebanyak $29.8 bilion, didorong sebahagian besarnya oleh pelawat dari negara pasaran dengan perbelanjaan paling tinggi seperti China, Indonesia dan Australia.
Ketibaan pelawat antarabangsa mencecah 16.5 juta, menunjukkan pemulihan yang kukuh selepas pandemik.
Pada masa hadapan, kadar perbelanjaan pelancongan dijangka mengatasi pertumbuhan ketibaan pelawat, apabila Singapura mengalihkan tumpuannya daripada jumlah kepada nilai, kata Ketua Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Cik Melissa Ow.
Visi ini terkandung dalam hala tuju Pelancongan 2040 STB, yang berkisar pada tiga tonggak utama: memupuk permintaan masa depan, meningkatkan daya tarikan Singapura sebagai satu destinasi, dan membangunkan sektor pelancongan yang sedia masa hadapan, lapor The Straits Times.
Salah satu enjin pertumbuhan utama terletak pada segmen Mice (mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran), yang Cik Fu kenal pasti sebagai “segmen pelawat yang berkembang pesat dan bermutu”.
Cik Fu dan Cik Ow sedang berucap di Persidangan Perusahaan Pelancongan pada 11 April.
Acara tahunan itu, yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura, adalah untuk STB dan perusahaan pelancongan dan perdagangan pengembaraan memberi tumpuan kepada trend pelancongan dan pandangan pasaran.
STB menyasarkan untuk menggandakan resit pelancongan Mice menjelang 2040.
Menurut satu kajian pada 2019 oleh STB, pengembara Mice menyumbang sekitar $1.4 bilion – atau sekitar 4 peratus – kepada resit pelancongan Singapura.
Cik Ow menganggarkan bahawa ini akan meningkat kepada sekitar 10 peratus menjelang 2040.
Pengembara Mice cenderung berbelanja dua kali lebih banyak daripada pengembara santai, kata Cik Fu, dan dengan sektor Mice sedunia dijangkakan meningkat dua kali ganda nilainya sepanjang dekad akan datang, Asia Pasifik muncul sebagai salah satu pasarannya yang paling pesat berkembang.
STB juga sedang mengkaji pembangunan Hab Mice baru di daerah pusat bandar Singapura.
Kemudahan baru itu dijangka melengkapkan dan mengukuhkan tawaran Mice di kawasan itu, dan akan memanfaatkan tempat dan tarikan Mice sedia ada di bandar dengan tujuan memperkaya pengalaman pelawat.
Pada masa yang sama, usaha untuk memberi nafas baru kepada kawasan pelancongan utama seperti Orchard Road dan Sentosa sedang dijalankan, dengan tumpuan kepada pengalaman yang lebih pelbagai dan mendalam.
Sebagai contoh, Minion Land dibuka di Universal Studios Singapura pada 14 Februari, manakala Oceanarium Singapura akan datang – yang menggantikan S.E.A. Aquarium - dijangka dibuka pada separuh pertama 2025.
Walaupun terdapat keyakinan itu, Cik Ow kekal berhati-hati di tengah-tengah ketegangan perdagangan yang berterusan.
Beliau berkata: “Tahun ini (2025), prospek ekonomi global kelihatan lebih tidak menentu. Buat masa ini, masih terlalu awal untuk kami menentukan kesan ke atas perjalanan dan pelancongan, dan kami akan memantau perkembangan ini dengan teliti.”
Cik Fu menambah: “Berikutan pengenaan tarif Amerika Syarikat, kami menjangkakan persekitaran global yang lebih mencabar. Ketika negara-negara menyemak semula kadar pertumbuhan mereka ke bawah, kami menjangkakan keyakinan pengguna akan terjejas.
“Walaupun kita melihat ke hadapan kepada rangkaian acara yang akan mencergaskan landskap pelancongan kita, kita mesti mempersiapkan diri untuk keadaan yang tidak stabil dalam jangka pendek hingga sederhana yang akan menguji kebolehsuaian kita,” tambahnya.
STB menjangkakan resit pelancongan mencecah antara $29 bilion dengan $30.5 bilion dan ketibaan pelawat antarabangsa mencecah 17 juta hingga 18.5 juta pada 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg