S’pura, Jerman lancar tahun inovasi, perkukuh hubungan strategik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura, Jerman lancar tahun inovasi, perkukuh hubungan strategik

MFA: Inisiatif tersebut bakal tingkat kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang
Feb 2, 2026 | 9:03 PM

S’pura, Jerman lancar tahun inovasi, perkukuh hubungan strategik

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Singapore, MFA, Germany
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan (kanan), dan Menteri Ehwal Luar Persekutuan Republik Jerman, Dr Johann Wadephul (kiri), semasa lawatan rasmi beliau ke Singapura pada 2 Februari demi memperkukuhkan hubungan strategik. - Foto MFA

Dengan meningkatnya ketidaktentuan global, komitmen yang teguh terhadap kerjasama pelbagai hala, perdagangan bebas, integrasi ekonomi dan penyelesaian pertikaian secara damai menjadi semakin genting.

Hubungan strategik turut memainkan peranan penting, membolehkan rakan kongsi mempererat kerjasama demi melonjakkan kemajuan dalam ekonomi, keselamatan, teknologi dan sektor-sektor utama lain.

Inilah antara intipati yang ditekankan oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Ehwal Luar Persekutuan Republik Jerman, Dr Johann Wadephul, semasa lawatan rasmi beliau ke Singapura pada 2 Februari.

Serentak itu, kedua-dua menteri melancarkan Tahun Inovasi Singapura-Jerman (YOI) sebagai langkah memperkukuh perkongsian strategik ini.

Pelancaran YOI bermatlamat mengukuhkan Hubungan Strategik dan Rangka Kerja Kemampanan dan Inovasi antara dua negara tersebut.

Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 2 Februari, inisiatif ini akan meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi masa hadapan, teknologi bersih, teknologi pertahanan, kerjasama perniagaan dan syarikat pemula niaga, serta memperkasa tenaga manusia bagi mengemudi cabaran masa depan dengan lebih berkesan.

Dari sudut ekonomi, Dr Balakrishnan dan Dr Wadephul menggariskan manfaat pelaburan dan perdagangan antara Singapura dan Jerman.

Kira-kira 2,400 syarikat Jerman dan 11 bank Jerman beroperasi di Singapura, yang memberi fokus kepada pasaran Singapura dan rantau ini.

Di pentas Kesatuan Eropah (EU), Dr Balakrishnan menonjolkan Perjanjian Perdagangan Bebas Singapura-EU, iaitu perjanjian yang pertama antara negara Asean dan EU.

Kementerian Jerman turut telah mengesahkan Perjanjian Perlindungan Pelaburan pada Januari 2026.

Mulai 1 Februari, Perjanjian Perdagangan Digital EU-Singapura juga mula berkuat kuasa.

Dr Wadephul berkata:

“Saya juga ingin memperkukuh penglibatan kami di Indo-Pasifik. Saya amat menghargai sokongan Singapura terhadap usaha Jerman untuk mengukuhkan jalinan kami dengan Asean.

“Perdagangan bebas dan adil kekal menjadi tunjang kemakmuran bagi Jerman dan Singapura. Sebagai pusat kewangan, inovasi dan perdagangan yang tidak dipertikaikan, Singapura merupakan hab ekonomi utama di rantau ini.”

Semasa lawatan itu, kedua-dua menteri mengulangi kepentingan kerjasama jangka panjang, yang sudah terjalin lebih 50 tahun, antara Singapura dan Jerman.

Kerjasama yang menyeluruh dan pelbagai aspek ini menyorot kemajuan yang dicapai melalui hubungan strategik mereka.

“Jerman dan Singapura adalah rakan kerjasama yang rapat. Kami berkongsi hubungan kukuh yang berteraskan ekonomi, pertahanan, sains, teknologi, pendidikan dan bidang digital. Hubungan ini terus mekar dan kian penting dalam suasana dunia hari ini,” kata Dr Balakrishnan kepada pihak media.

Dr Wadephul pula berkata: “Singapura merupakan rakan strategik yang amat dihargai di sebuah rantau yang penting secara strategik bagi Eropah dan khususnya bagi Jerman...”

Pada November 2024, kedua-dua negara meningkatkan hubungan mereka kepada hubungan strategik yang lebih mendalam.

Kedua-dua menteri turut membincangkan perkembangan antarabangsa dan serantau.

Mereka menegaskan semula komitmen bersama untuk menegakkan undang-undang dan ketertiban antarabangsa berasaskan peraturan, serta sistem perdagangan yang multilateral.

Dr Balakrishnan berkata: “Kami berdua percaya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), multilateralisme, perdagangan bebas, integrasi ekonomi dan penyelesaian pertikaian secara damai.

“Prinsip-prinsip yang hampir kita anggap sebagai kebiasaan selama 80 tahun kini menghadapi tekanan yang serius, adalah lebih penting bagi negara seperti Jerman dan Singapura untuk tampil ke hadapan dan memainkan peranan mereka.”

Dr Wadephul bersetuju dengan pandangan tersebut, sambil menambah:

“Berada berhampiran dengan Selat Melaka, kita dapat merasakan betapa rapatnya hubungan antara Eropah dan Indo-Pasifik, serta bagaimana ketegangan di Indo-Pasifik boleh menjejaskan ekonomi dan keselamatan di Eropah.”

Sepanjang lawatan itu, Dr Wadephul juga mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong menggariskan semula kepentingan Hubungan Strategik antara kedua-dua negara serta pentinganya mengekalkan multilateralisme.

Encik Wong turut menyambut baik hasrat Jerman untuk mempertingkatkan kerjasama dengan Singapura dan Asean.

Selain itu, Encik Wong dan Dr Wadephul bertukar pandangan mengenai perkembangan antarabangsa dan serantau terkini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg