Korea Selatan dan Singapura telah melancarkan sebuah logo pada 13 Januari untuk merayakan 50 tahun hubungan diplomatik mereka.
Logo tersebut adalah reka bentuk pemenang dalam pertandingan antara Universiti Kebangsaan Seni Korea dan Akademi Seni Halus Nanyang, kata kedutaan Korea Selatan di Singapura.
Reka bentuk yang dihantar telah dinilai oleh pakar reka bentuk dan pegawai dari kementerian ehwal luar dan kebudayaan kededua negara, serta wakil kedutaan, lapor The Straits Times.
Reka bentuk yang dipilih sebagai pemenang dihasilkan seorang pelajar dari Universiti Kebangsaan Seni Korea. Beliau menggabungkan elemen simbolik dan warna yang diilhamkan daripada bendera kebangsaan Korea Selatan dan Singapura dalam reka bentuknya.
Logo tersebut juga menampilkan angka 50 bagi menggambarkan 50 tahun persahabatan dan kerjasama antara kededua negara.
Singapura dan Korea Selatan mempunyai hubungan diplomatik sejak 1975, dengan rancangan untuk meningkatkan hubungan itu menjadi perkongsian strategik pada 2025.
Duta Besar Korea Selatan, Encik Hong Jin-wook, berkata: “Reka bentuk yang menarik dan dinamik ini mencerminkan semangat inovasi dan persahabatan yang dikongsi oleh kededua negara kami dengan begitu indah sekali... Kami akan berusaha untuk menghargai pencapaian 50 tahun lalu dan membuka jalan untuk bekerjasama pada 50 tahun yang akan datang.”
Kedutaan itu berkata ia juga merancang untuk mengadakan tayangan filem Korea dan persembahan ‘Jongmyo Jeryeak’, iaitu ritual adat diraja di Kuil Jongmyo, sebuah Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) di Seoul.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg