Singtel dan Lendlease mengadakan majlis pecah tanah pada 8 Julai bagi ibu pejabat baru syarikat telekomunikasi itu, Comcentre, yang akan dibina di tapak lamanya di Exeter Road.
Bangunan yang sedang dibangunkan semula dengan kos bernilai $3 bilion itu akan menjadi ruang pejabat Gred A terbesar di kawasan Orchard Road, dengan keluasan 110,000 meter persegi.
Tapak Comcentre sebelum ini mempunyai keluasan lantai kasar seluas 105,371 meter persegi.
Singtel akan menjadi penyewa utama dengan mengambil 30 peratus daripada keseluruhan ruang pembangunan.
Projek itu dijangka siap pada 2028 dan akan mempunyai dua menara pejabat Gred A setinggi 20 tingkat, menawarkan ruang pejabat seluas 81,960 meter persegi.
Bangunan itu juga akan menampilkan ruang gaya hidup dan runcit seluas 20,000 meter persegi, termasuk kedai andalan (flagship) baru Singtel, gerai makanan dan minuman (F&B), suite perubatan, gimnasium, serta sebuah auditorium.
Ruang bersih yang tersedia untuk disewa adalah sekitar 54,000 meter persegi.
Menurut laporan The Business Times (BT), projek itu telah menarik “minat yang besar daripada pelbagai jenis syarikat”, walaupun pemasaran rasmi dan penyewaan hanya akan bermula pada 2026.
Pada 2024, kakitangan Singtel yang sebelum ini bekerja di mercu tanda besar di Orchard Road itu telah dipindahkan ke SingPost Centre dan premis Singtel lain di seluruh negara, sebagai persiapan untuk kerja-kerja perobohan.
Comcentre baru yang sedang dibina itu akan dibuka kepada kawasan kejiranan sekitarnya, dengan laluan berbumbung yang luas serta laluan pejalan kaki yang dikelilingi kedai runcit dan F&B.
Ia juga akan terhubung dengan stesen MRT Somerset.
Direka oleh firma seni bina Kohn Pedersen Fox yang berpangkalan di New York serta firma landskap Field Operations, projek itu turut menampilkan taman bandar bertingkat terbesar di kawasan tengah Singapura, dengan keluasan hampir satu hektar.
Bercakap semasa majlis pecah tanah, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata:
“Pembangunan semula Comcentre dijangka menyemarakkan kawasan Somerset dan menyediakan kemudahan baru untuk masyarakat sekitarnya.
“Comcentre yang diperbaharui akan berfungsi sebagai hab masyarakat yang meriah dengan ruang awam baru dan keterhubungan yang lebih baik – menghimpunkan individu dari pelbagai lapisan masyarakat, menyokong perniagaan tempatan, serta menyumbang kepada Orchard Road yang lebih terangkum dan dinamik untuk semua rakyat Singapura.”
Pembangunan semula itu diumumkan pada 2022 apabila Singtel menjual sebahagian pegangan dalam Comcentre kepada Lendlease, menjadikan ia sebuah syarikat usaha sama.
Langkah itu dibuat dengan matlamat memaksimumkan potensi tapak tersebut, meningkatkan kecekapan bangunan, menjana nilai daripada hartanah itu dan mengukuhkan kedudukan kewangan Singtel.
Singtel memegang 51 peratus pegangan dalam usaha sama tersebut, manakala Lendlease memiliki 49 peratus.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg