Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiri program enam bulan bertujuan dalami penglibatan masyarakat Muslim dengan Al-Quran bermula
Siri program enam bulan bertujuan dalami penglibatan masyarakat Muslim dengan Al-Quran bermula
Siri program enam bulan bertujuan dalami penglibatan masyarakat Muslim dengan Al-Quran bermula
Satu siri program selama enam bulan bertujuan mendalami penglibatan masyarakat Muslim dengan Al-Quran telah bermula menyusuli pelancaran acara QuranSG pada 6 Jun.
Program tersebut melangkaui bacaan dan hafalan terhadap pemahaman, cerminan dan aplikasi, menurut satu kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 6 Jun.
Pelancaran QuranSG telah berlangsung di Masjid Kampung Siglap pada 6 Jun dan dihadiri sekitar 150 peserta. Majlis dirasmikan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir.
Dalam ucapannya, Dr Nazirudin menekankan kepentingan menterjemahkan pembelajaran Al-Quran ke dalam amalan kehidupan seharian.
Beliau menyatakan bahawa ukuran sebenar hubungan seseorang dengan Al-Quran adalah bagaimana bimbingan kitab suci itu diterjemahkan ke dalam watak, tindakan, serta sumbangan mereka kepada kemanusiaan.
Menurut beliau, QuranSG berhasrat melahirkan sebuah masyarakat yang bukan sahaja membaca dan menghafal Al-Quran, malah menghayati dan menjelmakan ajarannya dalam kehidupan setiap hari.
Antara sorotan utama pelancaran tahun ini ialah pengenalan E-Buku Tadabbur, sebuah sumber digital pertama seumpamanya yang dibangunkan oleh Muis dengan kerjasama Darul Tafsir dari Masjid Al-Khair.
Direka sebagai panduan ringkas dan praktikal untuk masyarakat awam, e-buku ini memperkenalkan konsep tadabbur secara mudah.
Ia menerangkan maksud tadabbur, kepentingannya, dan langkah-langkah selamat untuk bermula bagi membimbing pembaca daripada pembacaan kepada pemahaman dan aplikasi dalam kehidupan. Sumber digital ini boleh diakses secara dalam talian di go.gov.sg/tadabbursg-ebook26.
Bagi menyemarakkan lagi inisiatif ini, pameran jelajah QuranSG Roadshow akan membawa program penghayatan Al-Quran ke masjid-masjid di seluruh daerah di Singapura dari Mei hingga September ini.
Dipimpin oleh asatizah tempatan, segmen tadabbur khusus akan disepadukan ke dalam program-program masjid sebagai usaha menyeluruh bagi memupuk masyarakat yang reflektif.
Selain itu, orang ramai dipelawa menyertai pertandingan TadabburSG yang berbentuk cabaran komuniti selama 50 hari. Peserta digalakkan berkongsi refleksi peribadi mengenai ayat-ayat Al-Quran melalui kiriman video dari 29 Mei hingga 20 Julai 2026 menerusi borang dalam talian di go.gov.sg/tadabbur.
Siri Sembang Santai (Talkshow) TadabburSG juga akan diadakan dalam bahasa Melayu dan Inggeris di empat buah masjid antara Julai dengan September, menumpukan kepada surah-surah utama seperti Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Kahfi.
Kecemerlangan dalam hafalan dan bacaan pula terus diiktiraf menerusi pertandingan Tahfiz dan Tilawah Al-Quran.
Peringkat akhir Tahfiz telah berlangsung pada 6 Jun di Masjid Kampung Siglap, manakala peringkat akhir Tilawah dijadualkan pada 16 Ogos di Masjid Sultan sempena Festival QuranSG.
Inisiatif enam bulan ini akan memuncak dengan Seminar dan Festival QuranSG pada November depan yang bakal menghimpunkan para cendekiawan dan masyarakat dalam meraikan pembelajaran Al-Quran.
