Menimba ilmu sambil membantu menyumbang kepada dana bagi projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu apabila anda turut serta dalam acara ‘Syarahan Roadshow’ siri kedua, yang bakal berlangsung pada Mei ini.
Masjid Alkaff Kampung Melayu menganjurkan ‘Syarahan Roadshow’ yang terdiri daripada tiga siri, dengan siri pertama telah berlangsung pada 3 Februari lalu di Masjid Al-Istighfar. Siri kedua akan berlangsung pada 18 Mei ini di dewan utama Masjid Assyakirin.
Menurut Ketua Jabatan Dakwah Masjid Alkaff Kampung Melayu, Ustaz Sheikh Umar Abdul Aziz, ‘Syarahan Roadshow’ merupakan program syarahan dengan nafas berlainan daripada kebiasaan kerana ia menggabungkan seorang ustaz veteran dengan seorang pempengaruh anak muda.
“Gabungan demikian diharapkan dapat menarik generasi daripada setiap lapisan usia,” ujar Ustaz Sheikh Umar.
Pada ‘Syarahan Roadshow’ Mei ini, jemaah boleh mengikutinya bersama Ustaz Dr Ahmad Dahri, seorang tokoh pendakwah di Singapura yang tidak asing lagi, digandingkan bersama pempengaruh, Juffri Alui, yang kini aktif dalam podcastnya, Ohyeke, yang berunsur keagamaan dan nasihat.
Mereka akan sekali lagi membawakan perbincangan dan perkongsian yang segar, sekali gus dapat mencetus minat jemaah yang ingin lebih tahu.
Ketiga-tiga ceramah pada ‘Syarahan Roadshow’ ini bertemakan soal rezeki.
“Tempoh hari di Masjid Al-Istighfar, kami menumpukan pada erti kejayaan di dunia, dari segi pencapaian material, prestasi baik kerjaya dan segala kelebihan yang Allah kurniakan.
“Antara pesanan yang masih membekas daripada Ustaz Ahmad Dahri adalah ‘Jangan tunggu kaya baru bersedekah, tetapi bersedekahlah sampai kita kaya!” kata Ustaz Sheikh Umar.
Bagi siri kedua ini pula, tajuknya ialah ‘Love you till Jannah’, yang lebih tertumpu pada hubungan suami dan isteri, dengan jodoh yang tertulis juga salah satu bentuk rezeki daripada Tuhan.
Lantaran itu, jemaah dialu-alukan hadir pada sesi kedua ini untuk mengetahui perbincangan tentang tajuk tersebut.
Program ‘Syarahan Roadshow’ ini merupakan usaha yang dijalankan bagi mengumpul dana bagi projek peningkatan Masjid Alkaff yang terletak di Bedok Reservoir. Melihatkan kawasan kejiranan di sana yang terdiri daripada penduduk warga emas, masjid ini mahu mempertingkatkan kemudahan masjid seperti membina laluan tanjakan bagi pengguna kerusi roda atau alat bantuan mobiliti peribadi supaya mereka mudah bergerak masuk dan keluar masjid.
Tambahan pula, masjid ini adalah antara masjid yang belum ada kemudahan lif untuk ke tingkat dua dan tiga masjid. Bangunan Masjid Alkaff yang telah berdiri sejak tahun 1994 kini sudah usang dan banyak kerja baik pulih kerosakan bangunan telah dilakukan dan telah menelan belanja yang tinggi.
Pihak masjid berharap dengan sokongan masyarakat Islam setempat, tidak kira di bahagian timur ataupun bahagian lain-lain, ia dapat merealisasikan hasrat bagi memberi keselesaan dalam ibadah dan menimba ilmu.
Justeru, Masjid Alkaff Kampung Melayu mengundang masyarakat Islam menghadiri ‘Syarahan Roadshow’ untuk menimba ilmu sambil membantu menyumbang dana.
Mengulas tentang matlamat ‘Syarahan Roadshow’ ini, Ustaz Sheikh Umar berkata:
“Semasa kami membuat lakaran awal bagi program ini, satu perkara yang tidak lekang daripada fikiran kami ialah ilmu.
“Perkongsian yang bakal terhasil ini, kami ada meletakkan nota-nota penting yang perlu disentuh oleh anggota panel dan pemudah cara kami. Kami pula cuba berikan tajuk yang dapat dikaitkan kepada setiap orang yang menghadiri syarahan.
“Selainnya, kami berdoa agar program dapat berjalan dengan baik, dan juga agar jemaah yang hadir berasa lebih yakin menjalani kehidupan beragama di Singapura.”
Dalam pada itu, pihak masjid menyediakan beberapa ruang untuk orang ramai menderma dan menyumbang kepada projek peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu.
Pegawai Masjid Alkaff akan membantu jemaah yang ingin menyokong dengan bentuk sumbangan wang agar amalan berinfak lebih mudah. Sukarelawan masjid yang terdiri daripada golongan belia juga akan bersama-sama menghidupkan dan menjayakan program ini.
HULUR DERMA
Cara menderma bagi Dana Peningkatan Masjid Alkaff Kampung Melayu:
1. Pemindahan bank ke dalam akaun OCBC 581-608668-001. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Ruang Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.org.sg
2. Kirim cek atas nama LPM ALKAFF KG MELAYU. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di belakang cek dan kirimkan kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.
3. PayNow UEN: S94MQ0017D, atau Imbas Kod QR yang diberikan. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Ruang Rujukan’.
4. Langsung ke pejabat masjid dari Isnin hingga Khamis: 9 pagi hingga 5 petang.
5. Sila hubungi masjid di talian 6242-7224 untuk keterangan lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg