Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sistem AI kesan penyakit arteri koronari lebih pantas diuji di 3 hospital

May 21, 2025 | 12:40 PM
Sebanyak 300 pesakit dari ketiga-tiga institusi tersebut akan terlibat dalam percubaan Penganalisis Lesi Jantung Singapura (Sense).
Sebanyak 300 pesakit dari ketiga-tiga institusi tersebut akan terlibat dalam percubaan Penganalisis Lesi Jantung Singapura (Sense). - Foto ST

Sebuah sistem kecerdasan buatan (AI) baru yang dapat mengurangkan masa analisis imbasan jantung dan membolehkan diagnosis penyakit arteri koronari (CAD) dilakukan dengan lebih pantas akan diuji di tiga hospital awam di sini sebagai sebahagian daripada percubaan selama setahun.

Penganalisis Lesion Jantung Singapura (Sense) akan diuji di Pusat Jantung Nasional Singapura (NHCS), Hospital Universiti Nasional dan Hospital Tan Tock Seng pada suku ketiga 2025.

Seramai 300 pesakit dari ketiga-tiga institusi tersebut akan terlibat dalam percubaan ini, lapor The Straits Times (ST).

Sense akan menggunakan keupayaan pengkomputeran dan algoritma canggih untuk mentafsir imbasan pengimejan jantung dan menilai risiko penyakit arteri koronari dalam masa kurang daripada 10 minit.

Proses ini biasanya memerlukan dua hingga empat jam untuk dianalisis oleh jururadiografi dan pakar kardiologi, kata Penolong Profesor Lohendran Baskaran, perunding kanan di jabatan kardiologi NHCS.

“Kadangkala ia boleh mengambil masa lebih lama kerana doktor sibuk melakukan perkara lain di samping semua imbasan ini, seperti melihat pesakit di klinik,” kata Profesor Lohendran.

Sense mengautomasikan proses ini, menganalisis imbasan CT untuk menentukan jumlah pemendapan kalsium dalam arteri koronari dan tisu adipos epikardial – lapisan lemak yang mengelilingi jantung dan arteri koronari utama.

Ia telah menunjukkan ketepatan antara 85 dengan 99 peratus setakat ini, kata Profesor Lohendran, walaupun beliau menyatakan bahawa hasil ini diperoleh daripada penggunaan Sense dalam persekitaran terkawal.

Percubaan selama setahun di ketiga-tiga institusi ini akan memberikan gambaran lebih baik tentang sejauh mana ketepatan sistem ini dalam keadaan sebenar, katanya.

“Akhirnya, semua ini perlu disemak, diperiksa dan disahkan oleh doktor sebelum sebarang tindakan lanjut diambil. Ini tidak akan mengatasi kedudukan atau pertimbangan klinikal doktor,” kata Profesor Lohendran.

Sense diketuai oleh makmal penyelidikan Sistem Pengimejan KardioVaskular dan Kecerdasan Buatan (CVS.AI) di NHCS, bersama-sama dengan Institut Penyelidikan Infokom, Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*Star).

CVS.AI, yang bermula pada 2021, menggunakan AI untuk mengesan dan meramalkan penyakit jantung dengan lebih cepat dan tepat.

Menempati ruang seluas 164 meter persegi di bangunan NHCS di Hospital Boulevard, makmal ini menggunakan perisian pembelajaran mesin berkuasa AI dan unit pemprosesan grafik berprestasi tinggi untuk pemprosesan masa nyata set data besar, bagi meningkatkan ketepatan model peramalan penyakit dengan ketara.

Infrastruktur ini akan membolehkan CVS.AI meningkatkan dan mengukuhkan algoritma AI-nya menggunakan data besar yang dikumpul dan dianalisis, kata pengarah bersama CVS.AI dan ketua teknikal teras, Profesor Madya Zhong Liang.

Sistem Sense dibangunkan berasaskan projek terdahulu oleh CVS.AI – platform nasional berasaskan AI untuk angiografi koronari menggunakan tomografi berkomputer (CT) bagi aplikasi klinikal dan industri, dikenali sebagai Apollo.

Apollo bertujuan meningkatkan ketepatan dan kelajuan dalam mentafsir imbasan CT menggunakan AI.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg