Seorang pemandu bas yang hampir melanggar seorang pejalan kaki melintas sembarangan pada September 2024, berharap orang ramai lebih peka akan sekitaran mereka ketika melintas, serta memperlahankan bunyi fon telinga mereka.
Pemandu perkhidmatan bas SMRT 972 itu, Encik Jakeabel Anthony Dass, berkongsi bersama wartawan pada 3 Mac tentang insiden pada 13 September 2024 itu di Orchard Turn, jalan dua lorong di belakang Ngee Ann City dan Wisma Atria.
Rakaman kamera papan pemuka insiden itu, yang dimuat naik ke Facebook dan tular dalam talian, menunjukkan seorang pejalan kaki wanita memakai fon kepala dan melintas jalan tanpa melihat kenderaan sekeliling, menyebabkan beliau berjalan terus ke arah sebuah bas.
Encik Jakeabel, 39 tahun, berkata: “Apabila melintas jalan, jangan pasang bunyi terlalu tinggi. Perlahankan supaya anda dapat mendengar kenderaan di sekeliling. Terutamanya apabila keadaan sesak, pastikan keselamatan diri dan lihat (kanan kiri) dulu sebelum melintas. Jangan melintas sembarangan.”
Encik Jakeabel menyedari wanita itu sedang melintas, tetapi menyangka beliau akan berhenti di garis kembar untuk memberi laluan kepada bas, lapor The Straits Times (ST).
Beliau memperlahankan bas, menekan brek dan membunyikan hon berulang kali untuk memberi amaran. Namun, pejalan kaki itu terus berjalan, menyebabkan sistem amaran pelanggaran bas diaktifkan, lapor The Straits Times (ST).
Encik Jakeabel menekan brek kecemasan bagi mengelak perlanggaran, menyebabkan bas terhenti secara mendadak dan dua penumpang terjatuh. Mereka tidak mengalami kecederaan.
Encik Jakeabel yang mempunyai sembilan tahun pengalaman memandu bas, pernah mengalami insiden pejalan kaki cuai seperti itu, namun tidak sebegitu berbahaya.
Pasukan petugas yang meneliti keselamatan bas awam pada 5 Mac, antaranya mencadangkan semua bas di sini, dilengkapi dengan sistem amaran pelanggaran 360 darjah, berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan sistem antikeletihan.
Pemerintah menerima cadangan pasukan petugas itu semasa perbahasan belanjawan Kementerian Pengangkutan (MOT).
Sebilangan besar bas awam Singapura telah memanfaatkan sistem teknologi keselamatan. Bas SMRT dilengkapi sistem telematik untuk mengesan keletihan pemandu, manakala SBS Transit telah menjalankan percubaan sistem amaran perlanggaran 360-darjah pada 2024.
Tower Transit pula telah melengkapkan kesemua 775 basnya dengan sistem telematik – dengan 718 bas dilengkapi dengan sistem amaran pelanggaran, dan 133 yang lain dilengkapi dengan sistem anti-keletihan.
Sistem telematik memantau amalan pemandu, seperti penekanan brek, pecutan, dan kadar kelajuan bas.
Sistem amaran perlanggaran mengesan kenderaan atau pejalan kaki berhampiran, manakala sistem antikeletihan menggunakan teknologi pengesanan mata untuk memberi amaran kepada pemandu yang keletihan atau terganggu perhatian.
Pemandu bas Tower Transit, Encik Mohammed Syazwan Mohammed Salim, 27 tahun, yang memandu perkhidmatan bas 858, dengan masa perjalanan tiga jam, berkata sistem keselamatan sebegitu membantunya kekal waspada sepanjang perjalanan panjangnya.
Berucap dalam perbahasan belanjawan MOT pada 5 Mac, Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, menonjolkan Encik Syazwan sebagai contoh bagaimana sistem antikeletihan meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Sistem ini secara aktif memberi amaran kepadanya ketika beliau menguap, yang berguna dalam membantu mengekalkan kewaspadaan semasa memandu, serta memastikan keselamatan kapten bas dan juga penumpang,” kata Encik Murali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg