Jurutera SMRT telah berjaya menyelesaikan masalah kerosakan kepada sistem isyarat di Laluan Thomson-East Coast (TEL), yang menyebabkan perkhidmatan kereta api tergendala semasa waktu sibuk pada pagi 19 Disember.
SMRT pertama kali memaklumkan orang awam mengenai gangguan perkhidmatan MRT itu melalui hantaran di platform media sosial X, pada sekitar 9.40 pagi dan meminta penumpang untuk menjangkakan masa perjalanan tambahan selama 10 minit antara stesen Woodlands North dengan Bayshore.
Seorang wartawan The Straits Times yang berada di dalam kereta api Laluan TEL menuju stesen Woodlands North, melaporkan bahawa tren tersebut berhenti di stesen Shenton Way dan berada di situ selama kira-kira 15 minit, sekitar 9.25 pagi.
Dalam satu hantaran di Facebook, SMRT menjelaskan bahawa kerosakan pada sistem isyarat berlaku di Laluan TEL sekitar 9.10 pagi dan kereta api telah beroperasi pada kelajuan yang dikurangkan.
Sekitar 10.33 pagi, satu kemas kini memaklumkan bahawa jurutera mereka telah menyelesaikan masalah kerosakan sistem isyarat, dan kereta api kembali beroperasi pada kelajuan normal.
Pada 1 Oktober, kerosakan kereta api juga menyebabkan perkhidmatan MRT tergendala di Laluan TEL semasa waktu sibuk di sebelah petang.
Disebabkan itu, kereta api perlu bergerak lebih perlahan dari stesen Woodlands North menuju ke stesen Lentor.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg