Lebih ramai keluarga bekas pesalah kini mendapat manfaat daripada sukarelawan dan pertubuhan Melayu/Islam (MMO) di bawah program Rangkaian Pemulihan MMO.
Justeru, lebih ramai lagi yang boleh tampil ke hadapan untuk membantu, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Rangkaian Pemulihan MMO, dalam laporan Berita Harian pada Januari 2024, disokong 26 organisasi dan 11 bandar M Kuasa Tiga (M³), M³@Bandar. Ia membantu sekitar 300 benefisiari.
Ini berbanding sembilan organisasi yang membantu 120 benefisiari pada 2023 dan tujuh organisasi yang membantu 158 benefisiari pada 2022.
Dengan bilangan benefisiari yang kian meningkat, Dr Faishal berkata bahawa sokongan tambahan daripada masyarakat penting kerana ia membantu mengurangkan rasa keseorangan bekas pesalah dan keluarga mereka dalam proses pemulihan mereka.
“Dengan adanya wadah-wadah seperti ini, kita boleh membuka ruang dan membangunkan nilai-nilai positif dan membina masyarakat yang lebih inklusif.
“Saya rasa gembira melihat bekas banduan yang turun padang pada hari ini kerana ia menunjukkan bahawa mereka mahu memainkan peranan untuk menyumbang kembali.
“Pembangunan dan jenis sokongan sebegini, untuk para banduan dan keluarga mereka, membolehkan kami membuka lebih banyak laluan untuk memperbaik kehidupan mereka,” kata Dr Faishal.
Dr Faishal berkata demikian semasa bercakap kepada wartawan di acara pengagihan daging korban di Masjid An-Nur pada 29 Jun.
Sejak ianya ditubuhkan pada November 2021, Rangkaian Pemulihan MMO yang dibentuk agensi pemerintah, agensi perkhidmatan sosial, M3@Bandar dan masjid-masjid, telah mengagihkan daging korban kepada bekas pesalah dan keluarga mereka.
Pada 29 Jun, 12 organisasi, termasuk Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Angkatan Karyawan Singapura (AMP), Fitrah, New Life Stories, Persatuan Perkhidmatan Sosial India Muslim, Rumah Peralihan Rise Above, Rumah Peralihan Pertapis, Rumah Peralihan Jamiyah dan Yayasan Mendaki, M3@Choa Chu Kang dan M3@ Marsiling-Yew Tee telah berganding bahu untuk mengagihkan daging korban sebanyak dua kilogram dan habuan lain seperti makanan dalam tin, minuman dan biskut kepada sekitar 200 benefisiari.
Daging korban itu disediakan oleh SalamSG Korban menerusi inisiatif SalamSG Gives.
Rangkaian Pemulihan MMO merangkumi program seperti Dadah Itu Haram yang bertujuan mengekang penularan dadah di peringkat lebih awal dan (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga) Fitrah, yang memberikan sokongan kepada pesalah dan keluarga mereka semasa mereka ditahan dan selepas mereka dibebaskan.
Fitrah, yang dikendalikan bersama oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah membantu lebih 300 keluarga dan disokong semua 71 masjid.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg