Sistem yang memaparkan waktu ketibaan bas awam kembali beroperasi seperti biasa selepas mengalami gangguan sekitar 95 minit pada pagi 14 Julai.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengumumkan “masalah teknikal” pada paparan waktu ketibaan bas itu menerusi satu pemberitahuan di aplikasi perancangan perjalanan, MyTransport.SG, pada 6.15 pagi, 14 Julai. 

LTA menambah, operasi perkhidmatan bas berjalan lancar dan tidak terjejas oleh gangguan sistem tersebut.

Tinjauan The Straits Times (ST) pada aplikasi MyTransport.SG mendapati tiada waktu ketibaan bas dipaparkan setakat 6.40 pagi.

Namun, satu lagi aplikasi perancangan pengangkutan, Singabus, memaparkan waktu ketibaan bas seperti biasa.

Pada sekitar 8.10 pagi, waktu ketibaan bas kembali dipaparkan seperti biasa di MyTransport.SG.

Satu pengumuman di aplikasi tersebut menyatakan bahawa sistem itu telah pulih sepenuhnya pada 7.50 pagi.

Sistem paparan waktu ketibaan bas itu turut berdepan masalah pada 12 Jun lalu apabila ia mengalami gangguan selama lebih empat jam.

Sebelum ini, sistem waktu ketibaan bas tersebut pernah mengalami masalah teknikal pada Januari.

Masalah tersebut menyebabkan paparan waktu ketibaan bas tidak tepat serta menunjukkan masa menunggu yang lama di perhentian bas dan di aplikasi.

LTA telah memulakan proses mengeset semula sistem berkenaan pada 21 Januari, yang menyebabkan papan paparan di perhentian bas dan aplikasi gagal menunjukkan sebarang maklumat mengenai waktu ketibaan bas.

Gangguan tersebut berpunca daripada kelemahan perisian pada bas yang dicetuskan oleh kegagalan pelayan.

Sistem tersebut pulih sepenuhnya pada 12 Februari.