Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiswa SUSS mula inisiatif didik warga emas tentang amalan kemampanan
Siswa SUSS mula inisiatif didik warga emas tentang amalan kemampanan
Pesanan nenek sejak kecil supaya ‘jangan membazir rezeki’ kekal tersemat dalam ingatan Encik Muhammad Lukman Nur Hakim Johari, 24 tahun, hingga hari ini.
Pesanan itu mendorongnya untuk mempersoal bagaimana rakyat Singapura menghargai sumber yang ada serta bagaimana mereka boleh digalakkan untuk mengurangkan pembaziran, terutama selepas beliau menyaksikan corak penggunaan semasa pandemik Covid-19.
Sejak kecil, Encik Lukman melihat neneknya menyimpan lebihan makanan untuk dimakan kemudian dan menggunakan semula bekas di rumah.
Pada masa yang sama, beliau turut menyedari makanan sering tidak habis di majlis perkahwinan Melayu.
“Perkara-perkara kecil inilah yang menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Sejak kecil, amalan lestari sudah menjadi sesuatu yang semula jadi dalam keluarga saya, sama ada dengan menggunakan bekas guna semula untuk menyimpan makanan atau sekadar mengambil makanan secukupnya di majlis perkahwinan,” ujar beliau, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dengan Pengkhususan Kedua dalam Sains Politik dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Pengalaman tersebut menyemai kesedaran tentang pembaziran makanan dan seterusnya meluaskan minat Encik Lukman terhadap kelestarian, sehingga mendorong beliau menyertai Program Pemimpin Belia bagi Kelestarian Alam Sekitar (YES LP) kendalian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Pada 2024, beliau turut menyertai Kelab Kelestarian di SUSS dan mewakili kelab itu dalam Jawatankuasa Eksekutif Pelajar Antarabangsa (ISEC) bagi merancang Regen Asia Summit 2025, platform serantau yang diterajui pelajar untuk menghimpunkan golongan belia dan pengamal dari seluruh Asia bagi meneroka konsep regenerasi serta merancangkan penerapannya dalam pelbagai sektor dan konteks.
Melalui program YES LP itu, Encik Lukman bertekad untuk mencari cara menghasilkan kesan terhadap usaha kelestarian dalam masyarakat.
Kini, beliau merupakan peserta Kohort 4 YES LP dan bersama rakan sepasukan yang ditemuinya di SUSS, Cik Lim Qian Hui, sedang membangunkan projek yang memberi tumpuan kepada golongan warga emas.
Program YES LP yang bermula pada Jun 2026, memberi peluang kepada belia berusia 17 hingga 25 tahun untuk menerajui projek berkaitan kelestarian. Setiap pasukan boleh menerima dana sehingga $6,000 bagi membangunkan cara untuk menangani isu-isu berkaitan kelestarian.
Projek Encik Lukman pula memberi tumpuan kepada konsep circularity, iaitu pendekatan yang memastikan bahan dan sumber terus digunakan semula dan dimanfaatkan selama mungkin, bukannya terus dibuang.
“Dengan menjadikan konsep ‘circularity’ praktikal, mudah dilihat dan difahami, projek ini bertujuan menggalakkan tabiat lestari, mengurangkan sisa isi rumah dan memperkasa warga emas untuk memainkan peranan bermakna dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih memberi tumpuan kepada kelestarian dan peka terhadap penggunaan sumber, melalui tindakan harian di rumah dan di dalam masyarakat,” katanya.
Mereka merancang cara praktikal yang menggabungkan aktiviti berkebun sendiri, membuat kompos dan menghasilkan kombucha untuk mengajar warga emas memahami konsep tersebut dan mengaplikasisnya dalam kehidupan mereka seharian.
Kombucha ialah teh masam manis bergas, yang kaya dengan probiotik dan bagus untuk pencernaan.
Sebagai sebahagian daripada projek itu, warga emas juga akan menghasilkan kit kompos sendiri menggunakan sisa makanan yang sesuai serta bekas kitar semula.
Antara bahan yang digunakan ialah botol plastik PET (polietilena tereftalat) yang dicairkan sebelum dibentuk semula melalui pencetakan tiga dimensi (3D) menjadi bekas yang sesuai bagi kit tersebut.
Mereka juga akan menghasilkan pasu bunga daripada bahan kitar semula dan menggunakan kompos yang dihasilkan untuk menanam sayur-sayuran mikro.
Melalui aktiviti ini, para peserta dapat melihat sendiri bagaimana sisa makanan boleh diubah menjadi nutrien yang membantu tumbuhan baharu tumbuh.
Penghasilan kombucha pula menjadi satu lagi contoh konsep circularity, dengan peserta melihat bagaimana proses penapaian semula jadi boleh menghasilkan produk berguna daripada bahan-bahan asas.
Bagi Encik Lukman, pendekatan praktikal itu penting supaya konsep kelestarian tidak sekadar difahami secara teori.
Lantas, beliau melihat usaha melibatkan warga emas sebagai peluang untuk menggalakkan perkongsian pengetahuan antara generasi.
“Saya sentiasa menganggap penting untuk bekerjasama dengan golongan lebih berusia kerana mereka mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman. Saya percaya perubahan yang bermakna boleh berlaku apabila setiap generasi diberi peluang untuk mengambil bahagian dan menyumbang kepada matlamat dan hasil yang ingin kita capai,” katanya.