Semasa menjalani latihan amali di firma pengeluar semikonduktor, Infineon Technologies, pada 2023, Encik Qamarul Syazwan Muhammad Azri Alfred mereka papan pemuka untuk membantu jabatannya menjejak tempahan mikrocip yang belum disahkan.
Projek itu yang mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.
Dengan memanfaatkan perisian Tableau, beliau memperkemas proses manual dan menyepadukan pelbagai sumber data dalam usaha meningkatkan kecekapan tugas rakan sekerjanya.
Apabila Encik Qamarul menyertai syarikat itu sebagai pekerja sepenuh masa pada Januari 2024, beliau terkejut mendapati rekaannya itu telah dilaksanakan di seluruh syarikat tersebut.
Pada 8 Oktober 2024, siswazah berusia 27 tahun itu dinamakan sebagai ‘valediktorian’ bagi kohort Sekolah Perniagaan 2024 bagi konvokesyen Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) di Pusat Konvensyen Suntec City.
Kerja kerasnya membolehkan beliau menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dengan pengkhususan kedua dalam Analitik.
Encik Qamarul juga antara tiga penerima Anugerah Persatuan Logistik Singapura bagi pelajar terbaik dalam program Sarjana Muda Sains (Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan). Beliau antara 2,876 lulusan yang dianugerah ijazah muda di majlis itu.
Secara keseluruhan, 3,266 siswazah mendapat ijazah mereka di konvokesyen itu – iaitu yang terbesar bagi SUSS sejauh ini – berbanding 2,989 lulusan pada 2023.
Semasa majlis tersebut, Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, mengumumkan pelancaran program laluan bersepadu (IPP) mahasiwa SUSS-Kolej Penerbangan Singapura (SFC).
Ia program sarjana muda pertama dalam sektor penerbangan yang membolehkan pelajar meraih ijazah sarjana muda di samping Lesen Penerbangan Komersial (CPL) yang dikeluarkan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) – semuanya secara serentak dan disingkatkan kepada empat tahun.
Pelajar boleh mengikuti IPP itu dengan jurusan SUSS analitik perniagaan, kewangan, pengurusan sumber manusia, teknologi maklumat dan komunikasi, logistik dan pengurusan rantaian bekalan, pemasaran, keselamatan dan perlindungan awam, serta psikologi.
Menurut satu kenyataan SUSS, jurusan tersebut disusun berdasarkan ciri dan kemahiran yang diperlukan juruterbang menurut Rangka Kerja Kemahiran bagi Pengangkutan Udara oleh SkillsFuture Singapura.
IPP, yang ditawarkan secara sambilan, akan menyambut kohort pertamanya seramai 25 mahasiswa pada Julai 2025. Permohonan dibuka dari 8 Oktober hingga Mac 2025. Pelajar perlu mengambil ujian penerbangan sebelum mendapatkan lesen.
Semasa berucap di upacara tersebut, Encik Chan, yang turut menyampaikan sijil kepada lulusan, berkongsi bahawa daya utama tersebut sejajar dengan program pendidikan yang ada di Singapura, untuk memupuk pembelajaran sepanjang hayat.
“Sama dengan laluan bersepadu lain seperti program, ijazah serta diploma kerja dan belajar, program sedemikian bertujuan menggalakkan individu memupuk pembelajaran sepanjang hayat.
“Ini supaya mereka boleh terus bekerja sambil meningkatkan kemahiran mereka pada masa yang sama, kerana kedua-duanya tidak perlu saling eksklusif,” ujar beliau.
Upacara tersebut turut dihadiri Canselor SUSS, mantan Presiden Puan Halimah Yacob, dan Presiden SUSS, Profesor Tan Tai Yong.
Semasa dihubungi Berita Harian dalam talian, Encik Qamarul berkata pada mulanya beliau tidak menyangka dapat melanjutkan pelajaran ke menara gading. Namun, keadaan itu berubah apabila beliau mula melihat prestasinya semakin memberangsangkan.
Pada tahun kedua dan ketiga, anak bongsu tiga beradik itu disertakan dalam Senarai Pencapaian Akademik.
Dalam kegiatan luar akademik, Encik Qamarul ahli Kumpulan Minat Rantaian Pembekalan (SCIG) SUSS selaku ketua sumber manusia. Antara tanggungjawabnya ialah mengendalikan sesi menjalin silaturahim dalam talian dek pandemik Covid-19.
Selain rakan-rakan seperjuangan yang memupuk sikap positif beliau terhadap pelajaran, Encik Qamarul juga hargai pengorbanan keluarganya.
“Jika ada tarikh akhir yang ketat, keluarga saya mengambil alih tugasan saya di rumah dan menyediakan makanan agar saya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran tanpa gangguan,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg