Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siswazah SIT perkaya pengajian terapi pertuturan dengan khidmat kemasyarakatan

Bekas pelajar madrasah antara 27 siswazah perintis jurusan Terapi Pertuturan dan Bahasa di SIT
Oct 21, 2024 | 1:39 PM
Sebagai siswazah perintis program Terapi Pertuturan dan Bahasa (SLT) di Institut Teknologi Singapura (SIT), Cik Nurul Diyanah Damanhuri berkongsi bahawa program tersebut membuatnya lebih bersedia menggalas peranan sebagai pakar terapi pertuturan di Hospital Besar Singapura (SGH) pada lewat Oktober.
Sebagai siswazah perintis program Terapi Pertuturan dan Bahasa (SLT) di Institut Teknologi Singapura (SIT), Cik Nurul Diyanah Damanhuri berkongsi bahawa program tersebut membuatnya lebih bersedia menggalas peranan sebagai pakar terapi pertuturan di Hospital Besar Singapura (SGH) pada lewat Oktober. - Foto SIT

Sebagai salah seorang pendidik di pertubuhan, My Inspiring Journey Hub (MIJ Hub) Changi, Cik Nurul Diyanah Damanhuri meluangkan pagi Ahadnya mengendalikan kelas agama kepada pelajar di pusat itu.

Berbanding dengan pusat kelas agama mingguan lain, pelajar di bawah naungannya termasuk mereka yang mengalami gangguan spektrum autisme, masalah hiperaktif dan kekurangan tumpuan (ADHD) dan sindrom Down.

Meskipun ia agak mencabar, Cik Diyanah, 23 tahun, berkongsi bahawa ia bukan sahaja memperkukuh komitmen beliau terhadap khidmat kemasyarakatan, malah memperkayakan pengajiannya dalam jurusan Terapi Pertuturan dan Bahasa (SLT) di Institut Teknologi Singapura (SIT).

“Sambil belajar tentang terapi pertuturan, saya berpeluang melibatkan diri dengan kanak-kanak yang mengalami pelbagai gangguan perkembangan.

“Ini membolehkan saya menerapkan apa yang saya pelajari dalam pengajian saya apabila saya berinteraksi dengan mereka,” ujar beliau.

Pada 16 Oktober, bekas pelajar Madrasah Al-Ma’arif itu merupakan antara 27 siswazah perintis SLT yang tamat pengajian dengan majlis Konvokesyen SIT 2024 di The Theatre @ Mediacorp.

Kerja kerasnya telah membolehkan beliau menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Terapi Pertuturan dan Bahasa.

Di luar akademik pula, anak kedua dalam lima beradik itu juga melibatkan diri dalam kelab-kelab kendalian pelajar seperti Kelab Silat SIT sebagai Presiden dan persatuan Muslim SIT yang dikenali sebagai Sitta Society, selaku Bendahari.

Semasa dihubungi Berita Harian (BH), Cik Diyanah memberitahu bahawa peluang menceburi bidang tersebut terbuka apabila beliau mengunjungi sesi Rumah Terbuka SIT pada 2020.

Mulanya berminat dalam bidang perubatan, beliau kemudian meneroka bidang lain dalam industri penjagaan kesihatan.

“Dalam perbualan saya dengan orang lain, saya belajar bahawa industri penjagaan kesihatan bersekutu sedang berkembang.

“Justeru, saya hadir ke sesi rumah terbuka dengan niat untuk menceburi bidang terapi pekerjaan (occupational therapy). Sebaliknya, saya terima risalah untuk program Terapi Pertuturan dan Bahasa (SLT).

“Semasa berbincang bersama ibu saya, saya sedar bahawa salah satu modul teras ditawarkan dalam program itu adalah linguistik dan ia menarik minat saya,” kongsi beliau, yang mempelajari tiga bahasa – Inggeris, Melayu dan Arab – semasa di Madrasah Al-Ma’arif.

Sepanjang pengajiannya selama empat tahun di SIT @ Dover, pembelajaran Cik Diyanah di dalam bilik darjah juga merangkumi sekurang-kurangnya lima latihan klinikal.

Di bawah seorang penyelia, latihan klinikal tersebut berlangsung dari enam hari hingga tujuh minggu.

Ia melibatkan sesi pemeriksaan dan terapi untuk golongan dewasa dan kanak-kanak dalam mengatasi gangguan pertuturan yang mereka ada.

Bagi Cik Diyanah, latihan klinikal sebegini dianggapnya sebagai wadah menyumbang kepada masyarakat sebagai pakar terapi pertuturan.

“Ia sangat menyentuh hati apabila saya dapat melihat kesan usaha saya dalam membantu para pesakit dan menyaksikan perjalanan pemulihan mereka.”

“Menyumbang dengan cara begini amat memuaskan, kerana saya dapat memberi sokongan penting kepada mereka yang memerlukannya.”

Mulai lewat Oktober, beliau akan memulakan tugas sebagai pakar terapi pertuturan di Hospital Besar Singapura (SGH). 

“Ia sangat menyentuh hati apabila saya dapat melihat kesan usaha saya dalam membantu para pesakit dan menyaksikan perjalanan pemulihan mereka. Menyumbang dengan cara begini amat memuaskan, kerana saya dapat memberi sokongan penting kepada mereka yang memerlukannya.”
Cik Nurul Diyanah Damanhuri, siswazah SIT dalam jurusan Terapi Pertuturan dan Bahasa.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg