Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Siswazah SMU akan terima transkrip senarai pencapaian kokurikulum

Transkrip kokurikulum akan papar pelbagai set kemahiran di samping transkrip akademik
Apr 17, 2025 | 7:39 PM
Pelajar SMU, Timothy Lua Wei Sheng, 28 tahun (kiri) dan Sivakami Arunachalam, 23 tahun, akan menamatkan pengajian pada akhir April.
Pelajar SMU, Timothy Lua Wei Sheng, 28 tahun (kiri) dan Sivakami Arunachalam, 23 tahun, akan menamatkan pengajian pada akhir April. - Foto SMU

Dalam satu inisiatif pertama dalam kalangan universiti di sini, para siswazah Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang menamatkan pengajian pada 2025, akan menerima satu transkrip pada Julai yang mencatat pelbagai aktiviti kokurikulum (CCA) mereka, di samping transkrip akademik.

Transkrip kokurikulum tersebut lebih daripada sekadar mencatatkan satu senarai aktiviti yang disertai pelajar. Ia akan memaparkan pelbagai set kemahiran yang telah mereka bina dalam proses tersebut, dan sejauh mana mereka telah membangunkan set kemahiran berkenaan, melalui tiga tahap yang progresif.

Pada tahap tertinggi, penglibatan pelajar dalam CCA tersebut telah membawa kepada perkembangan mendalam atau perubahan besar dalam nilai, kepercayaan dan perspektif pelajar.

Maklumat bagi transkrip tersebut diambil daripada satu wadah dalam talian, di mana para pelajar boleh mencatat pengalaman pembelajaran melalui CCA masing-masing, dan mengimbas mengenai pembelajaran dan perkembangan mereka.

Para instruktor mereka pula memberikan bimbingan dan maklum balas lanjut, lapor The Straits Times.

Dekan pelajar SMU, Profesor Paulin Straughan, berkata inisiatif tersebut adalah yang pertama di Singapura dan menggambarkan komitmen SMU untuk melahirkan siswazah holistik yang mempunyai pelbagai kemahiran kerjaya dan bersedia menghadapi dunia kerjaya dan kehidupan.

“Pasaran pekerjaan kian berubah, dan majikan kini memberi penekanan lebih besar terhadap kemahiran yang diperoleh di luar bilik darjah, iaitu kemahiran seperti pemahaman antara budaya, kebolehan menyelesaikan masalah dan kemahiran kepimpinan,” tambahnya.

Profesor Straughan menyatakan bahawa SMU adalah universiti tempatan pertama yang memperkenalkan kededua latihan amali atau industri, serta khidmat kemasyarakatan sebagai syarat tamat pengajian - sejak penubuhannya 25 tahun lalu.

Semua mahasiswa universiti itu dikehendaki melalui minimum 10 minggu latihan amali dan minimum 80 jam khidmat kemasyarakatan.

Sebahagian besar mahasiswa universiti itu melakukan lebih daripada itu.

Para pelajar SMU juga boleh memilih menyertai pelbagai program pendedahan di merata dunia atau pembelajaran berasaskan projek, atau menyertai pertubuhan pelajar yang merangkumi pelbagai bidang termasuk seni dan sukan.

Ketua pembangunan kokurikulum di SMU, Encik Alvin Sim, berkata: “Apabila kami memulakan daya usaha ini, kami benar-benar merasakan bahawa pembelajaran daripada pelbagai pengalaman ini tidak seharusnya berlaku secara kebetulan, atau tanpa perancangan.

“Sebaliknya, pengalaman ini boleh direka secara sengaja untuk membangunkan kemahiran tertentu.”

Beliau menambah bahawa SMU telah melibatkan majikan sejak awal lagi, dalam mengenal pasti set kemahiran yang penting di tempat kerja.

Baru-baru ini, universiti tersebut berusaha membiasakan majikan dengan transkrip tersebut dan menggalak mereka memanfaatkannya dalam proses pengambilan pekerja.

Pengambilan pekerja berasaskan kemahiran semakin diutamakan di seluruh dunia.

Menurut laporan Masa Depan Perekrutan oleh LinkedIn pada 2024, sebanyak 73 peratus perekrut di seluruh dunia mengutamakan kecekapan berbanding kelulusan ijazah.

Di Singapura, sebanyak 70 peratus majikan pula lebih menghargai kemahiran insaniah seperti komunikasi dan pemikiran kritikal berbanding kelayakan formal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg