Topik diikuti
Pergi ke BHkuSkillsfuture S’pura, Agensi Tenaga Kerja S’pura gabung di bawah lembaga berkanun baru mulai 1 Jul
Skillsfuture S’pura, Agensi Tenaga Kerja S’pura gabung di bawah lembaga berkanun baru mulai 1 Jul
Mantan karyawan bank DBS, Lim Sim Seng, bakal ketua Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA)
Skillsfuture S’pura, Agensi Tenaga Kerja S’pura gabung di bawah lembaga berkanun baru mulai 1 Jul
Sebuah lembaga berkanun baharu akan ditubuhkan pada 1 Julai, yang akan menggabungkan SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG).
Lembaga pengarah sulung bagi Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) akan berkhidmat selama dua tahun sehingga 30 Jun 2028, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan pada 24 Jun.
Gabungan itu, yang diumumkan dalam ucapan Belanjawan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 12 Februari, bertujuan mewujudkan ekosistem pekerjaan dan kemahiran lebih bersepadu, serta mampu bertindak balas dengan lebih baik apabila ekonomi menghadapi perubahan struktur yang pesat.
Mantan karyawan bank DBS, Encik Lim Sim Seng, yang kini merupakan Timbalan Pengerusi SIA Engineering, akan mengetuai lembaga baharu itu.
Beliau pernah menjadi Pengerusi Penguasa Tanah Singapura (SLA) dan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA).
Sebelum itu, beliau merupakan Ketua Kumpulan Perbankan Pengguna dan Pengurusan Kekayaan DBS, serta Ketua Negara DBS Singapura.
Beliau juga merupakan Pesuruhjaya Tinggi Bukan Warganegara ke Nigeria.
MOM, dalam kenyataannya, berkata: “Encik Lim akan menentukan hala tuju strategik SWDA, mengukuhkan penyelarasan dengan rakan kongsi utama, serta memastikan tadbir urus yang kukuh dan membina keupayaan pertubuhan.
“Pengalaman Encik Lim yang kukuh dalam perkhidmatan awam dan komersial amat berharga dalam memimpin peralihan ke SWDA.”
Lembaga itu akan terdiri daripada 11 anggota lain, termasuk Ketua Eksekutif SWDA, Cik Dilys Boey; Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Cham Hui Fong; pengasas bersama jenama fesyen Love, Bonito, Cik Rachel Lim; dan pengarah kanan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), Encik Zhang Weijie, yang tugasnya tertumpu pada sektor ekonomi digital.
MOM berkata anggota lembaga itu berasal dari sektor awam dan swasta, dan gabungan kepakaran mereka akan membantu memastikan SWDA sentiasa peka terhadap keperluan pekerja dan majikan yang terus berkembang.
Ini juga akan mengukuhkan penyepaduan pembangunan kemahiran dan transformasi tenaga kerja, tambahnya.
MOM turut merakamkan penghargaan kepada pengerusi WSG, Encik Chew Hock Yong dan pengerusi SSG, Encik Tan Kai Hoe, serta anggota kedua-dua lembaga atas sumbangan mereka.
