Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) yang baru perlu membentuk laluan persediaan kerjaya yang lebih awal untuk pelajar bagi memastikan peralihan lebih lancar dari tempoh persekolahan ke alam pekerjaan.

Demikian kata Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i), semasa perbahasan Rang Undang-Undang SWDA di Parlimen pada 5 Mei.

Pembentukan SWDA – hasil gabungan SkillsFuture Singapura (SSG) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan kali pertama diumumkan semasa Belanjawan 2026 pada Februari – bertujuan menyelaras urusan pekerjaan dan kemahiran bagi rakyat Singapura dengan lebih cekap.

Dr Wan Rizal menarik perhatian mengenai “jurang pekerjaan pertama”, di mana ramai pelajar berasa bimbang menjelang tamat pengajian kerana tidak pasti apakah kelayakan akademik mereka mencukupi dan jika mereka memerlukan pengalaman sebelum melangkah masuk ke kerjaya sebenar.

Meskipun pemerintah telah mengambil beberapa langkah menyokong lulusan baharu, termasuk melalui Program Pelatih Industri bagi Lepasan Baru (Grit), ia tidak menyelesaikan isu di peringkat awal.

“Apabila kita bercakap mengenai pembangunan tenaga kerja, kita tidak boleh menunggu sehingga akhir perjalanan dan kemudian berkata “Ini beberapa portal, ini beberapa skim, selamat berjaya.

“Itu bukan satu laluan. Itu proses mencari-cari dan memburu arah tuju atau ‘scavenger hunt’.

“Oleh itu, SWDA mesti bergerak di peringkat awal. Ini bermakna bimbingan kerjaya yang lebih baik pada peringkat awal perjalanan pelajar.

“Ia bermakna isyarat lebih jelas tentang pekerjaan yang sedang berkembang dan kemahiran yang benar-benar penting,” kata beliau.

Dr Wan Rizal menambah, agensi baru itu juga perlu memastikan Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) dihubungkan dengan lebih erat kepada peralihan pekerjaan, pengiktirafan majikan dan permintaan pasaran pekerja yang sebenar.

Bagi pelajar dewasa, beliau berkata langkah mengikuti kursus latihan bukan sekadar untuk peningkatan diri, malah, satu pelaburan harapan untuk meningkatkan taraf hidup dan gaji.

Dr Wan Rizal berkata SWDA boleh memberi tumpuan kepada beberapa anjakan praktikal, seperti menjadikan maklumat pekerjaan dan kemahiran lebih mudah digunakan oleh orang biasa dan menjadikan pemadanan berasaskan kemahiran sesuatu yang nyata.

Ketika berhujah dalam bahasa Melayu, Dr Wan Rizal berkata sebagai sebahagian daripada Bidang Tumpuan Empat (FA4) M Kuasa Tiga+ (M³+) dan Jawatankuasa Daya Ekonomi baru dibentuk, beliau berharap mereka dapat bekerjasama rapat dengan SWDA supaya sokongan yang diberikan benar-benar sesuai dengan keperluan kumpulan berbeza – termasuk belia, lulusan baharu, pekerja pertengahan kerjaya, karyawan dan usahawan.

“Ini termasuk dalam mengenal pasti sektor pertumbuhan yang mempunyai potensi kukuh, menghubungkan masyarakat kita kepada peluang tersebut, dan membina laluan yang benar-benar boleh diterjemahkan kepada pekerjaan yang baik, kemajuan kerjaya dan daya tahan ekonomi jangka panjang,” kata beliau.

“Di tengah-tengah kemajuan teknologi yang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), dan perubahan geopolitik yang semakin tidak menentu dan sukar diramal, perubahan adalah perkara yang tetap. Kita mesti terus memastikan tenaga kerja... kekal tangkas, agar kita dapat memanfaatkan peluang yang muncul dan meraih nilai serta pekerjaan yang baik bagi rakyat Singapura.”
Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh).

“Gabungan antara Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dengan SkillsFuture Singapura (SSG) kepada satu agensi tunggal bukan sekadar penyatuan pentadbiran, tetapi merupakan langkah ke arah sistem tenaga kerja holistik yang lebih bersepadu. Dalam masa sedekad yang akan datang, kita harus mengukur kejayaan bukan dengan jumlah kursus yang dihadiri oleh pekerja, tetapi peralihan kepada pekerjaan yang lebih baik dengan adanya kemajuan.”
Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West).

“Ujian sebenar Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) bukanlah sejauh mana ia menyepadukan sistem sokongan, tetapi keberaniannya untuk menerima pakai indeks prestasi utama (KPI) yang telus, kesediaannya memperjuangkan individu yang mencari kerja secara proaktif, dan ketangkasan untuk bergerak pada kelajuan ekonomi kita.”
Encik Gerald Giam (GRC Aljunied).

“Penubuhan Agensi Pembangunan Kemahiran dan Tenaga Kerja (SWDA) mempunyai potensi yang besar untuk ekosistem pembangunan kemahiran dan tenaga kerja yang tangkas, bermutu tinggi dan memberi pulangan tinggi, memandangkan penyepaduan prasarana pekerjaan dan kemahiran serta strategi pengurusan yang baik.”
Penolong Setiausaha Agung, Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Patrick Tay (Pioneer).