Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bina komunikasi bermutu, berkesan antara bapa dengan anak

Renung kembali pengertian sambutan Hari Bapa yang jatuh pada Hari Arafah
Jun 17, 2024 | 8:51 AM
Hari Bapa dan Hari Arafah yang jatuh pada hari yang sama pada 2024 menjadikan sambutannya lebih teruja dan amat mendalam pengertiannya.
Hari Bapa dan Hari Arafah yang jatuh pada hari yang sama pada 2024 menjadikan sambutannya lebih teruja dan amat mendalam pengertiannya. - Foto Fail

MOHAMED KHAIR MOHAMED NOOR

Sambutan Hari Bapa pada 16 Jun 2024 jatuh pada 9 Zulhijah 1445, iaitu Hari Arafah, mengikut perkiraan hisab di Singapura.

Pertemuan di antara Hari Bapa dengan Hari Arafah pada hari yang sama pada 2024 menjadikan sambutannya lebih teruja dan amat mendalam pengertiannya.

Hari Arafah didukungi peranan Nabi Ibrahim as sebagai seorang ayah yang menjalankan perintah Allah ke atas anaknya, Nabi Ismail as.

Rugi sekiranya Hari Bapa 2024 berlalu pergi tanpa golongan ayah tidak merebut peluang untuk mengambil pengajaran daripada sejarah yang melandasi Hari Arafah dan juga tokoh utama yang mendukungi Hari Arafah iaitu Nabi Ibrahim as.

PENGAJARAN BUAT AYAH DARI HARI ARAFAH

Pengajaran pertama adalah mengenai sesuatu yang mudah dilakukan tetapi sering tidak diutamakan sebahagian ayah, iaitu komunikasi bermutu lagi berkesan dengan anak-anak.

Apabila Nabi Ibrahim as menerima perintah Allah swt untuk melaksanakan korban ke atas anaknya, beliau tidak terus melaksanakan arahan tersebut.

Malah Nabi Ibrahim as berkata kepada anaknya, Nabi Ismail as, sambil bertanya, “Apakah pendapat kamu tentang perintah tersebut?”

Perbualan Nabi Ibrahim as dengan anaknya, Nabi Ismail as, memberi isyarat jelas betapa pentingnya untuk kaum ayah membentuk anak-anak berkeupayaan berfikir secara rasional yang berlandaskan nilai agama.

Dalam kejadian tersebut, Nabi Ibrahim as boleh terus melaksanakan perintah tersebut atas dasar yang ia datang daripada Allah swt.

Namun, Nabi Ibrahim as bertanya pendapat anaknya terlebih dahulu.

Perbualan tersebut memberi petunjuk kepada kaum ayah betapa pentingnya berkomunikasi dengan anak-anak dengan cara rasional dan tenang dalam apa jua keadaan, apatah lagi dalam konteks apabila perintah tersebut melibatkan arahan korban ke atas anak yang disayanginya.

Terdapat satu lagi pengajaran penting dalam episod itu yang amat jelas bahawa Nabi Ibrahim as tidak mendidik anaknya untuk setakat ‘taat’ kepada agama sahaja tanpa mendasari ketaatan itu dengan sebab yang jelas.

Ertinya, Nabi Ibrahim as telah mendidik anak remajanya ketika itu untuk juga menggunakan akal dan fikirannya dalam hal-hal agama, termasuk ketaatan.

Ini juga isyarat jelas bahawa agama itu tidak berdiri di atas dasar ketaatan semata-mata tetapi agama itu dibina juga atas dasar rasional.

Respons Nabi Ismail as, sebagai seorang remaja ketika itu, terhadap pertanyaan ayahnya, jelas sekali mempamerkan mutu perhubungan yang amat baik di antara mereka berdua dan juga pendidikan si ayah ke atas anaknya.

Jelas sekali Nabi Ismail as tidak memberontak. Beliau tidak memaki hamun ayahnya. Beliau tidak melakukan sesuatu yang negatif terhadap persoalan yang dikemukan ayahnya ketika itu.

Begitu tenang sekali respons Nabi Ismail as terhadap persoalan yang dikemukan ayahnya.

Ketenangan sebegitu memancarkan ketabahan kerohanian, mental dan jiwa yang terbentuk kukuh hasil didikan yang sempurna.

Ketenangan komunikasi yang dipamerkan juga membayangkan betapa kukuhnya hubungan di antara ayah dengan anak dengan tahap kepercayaan dan keyakinan yang amat tinggi sekali di antara mereka berdua.

Sebagai seorang Nabi, boleh sahaja Nabi Ibrahim as terus melaksanakan perintah tersebut.

Namun, Nabi Ibrahim as memilih untuk mendapatkan pandangan anaknya terlebih dahulu tanpa ada unsur paksaan. Dan bukanlah pula Nabi Ibrahim as ‘takut’ kepada anak.

Tetapi pendekatannya mempamerkan betapa beliau juga menghormati dan menghargai pandangan anak remajanya itu yang telah dididiknya dengan sebaiknya.

Itulah ciri-ciri kepemimpinan yang seharusnya terbentuk dan dihayati oleh sekalian ayah merentasi zaman.

Ayah yang berkesan adalah ayah yang mendukung, menghayati, mempamerkan komunikasi berkesan dalam memimpin, mendidik dan membentuk anak-anak dalam keluarga, sepertimana yang dipamerkan Nabi Ibrahim as dalam perbualan dengan anak remajanya ketika menangani cabaran untuk melaksanakan perintah Allah swt yang bukannya ringan.

ADAKAH IA MASIH RELEVAN?

Tentu sekali. Malah episod ini, berserta episod lain yang terdapat dalam sejarah para Nabi dan Rasul, dan juga sahabat, boleh dijadikan panduan untuk membentuk institusi kebapaan berkesan dalam masyarakat setempat.

Apa yang dipamerkan dalam episod yang mendasari Hari Arafah itu merupakan asas penting dalam usaha membentuk generasi ayah berkesan dalam masyarakat.

Komunikasi berkesan dengan anak-anak tidak harus dipandang enteng atau perkara remeh oleh kaum ayah.

USAHA PASUKAN BERTINDAK BERKAITAN KEBAPAAN NAKHODA

Dan itulah juga di antara teras Nakhoda, sebuah jawatankuasa kemudi, yang dibentuk khas untuk mengemudi pembangunan dan pelestarian institusi ayah yang berkesan dalam masyarakat Melayu/Muslim di Singapura di bawah kepimpinan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri.

Nakhoda mengambil kira dapatan kajian yang disiapkan Zamil Penyelidik Institut Kajian Dasar (IPS), Dr Mohamad Shamsuri Juhari.

Di antara dapatan kajian tersebut adalah betapa kaum ayah tahu akan kepentingan masa bermutu dengan anak-anak tetapi mereka tidak begitu jelas apa yang seharusnya mereka lakukan selaras dengan idea “masa bermutu” itu.

Sebahagian responden kajian tersebut beranggapan meluangkan masa bermutu setakat menghadirkan diri bersama anak-anak sambil membiarkan anak-anak melakukan kegiatan mereka sendiri.

Ini bagaikan ayah itu hadir, tetapi tidak hadir ketika meluangkan masa dengan anak-anak.

Tentunya tanggapan seperti itu tidak menepati keperluan ayah meluangkan masa bermutu dengan anak-anak.

Untuk benar-benar meluangkan masa bermutu, kaum ayah terlebih dahulu perlu berkomunikasi dengan anak-anak dengan pendekatan dan cara yang bermutu terlebih dahulu.

Kaum ayah perlu ada ilmu, keupayaan dan kemahuan untuk berkomunikasi dengan anak-anak secara bermutu.

Episod Nabi Ibrahim as berkomunikasi dengan anak remajanya ketika itu memberi petunjuk besar tentang kepentingan, keupayaan dan kemahiran komunikasi yang perlu dibentuk dalam kalangan kaum ayah bagi memperkasa mereka untuk memimpin, mendidik dan membentuk anak-anak, di samping meluangkan masa bermutu dengan mereka di dalam mahupun luar rumah.

Daripada pengalaman berinteraksi dengan kaum ayah daripada pelbagai latar belakang sepanjang tiga dekad menjalankan pelbagai program kekeluargaan, komunikasi berkesan sering kali “terkorban” dek kaum ayah sibuk dengan tugasan dan tanggungjawab mencari rezeki.

Tidak kurang juga ramai yang tidak melihat komunikasi berkesan itu sebagai tuntutan terhadap kaum ayah kerana mereka dibesarkan dalam suasana apabila ayah mereka sendiri tidak mempamerkan kepentingan untuk berkomunikasi secara berkesan.

Bagi kaum ayah seperti ini, yang lebih utama dalam keluarga adalah perlaksanaan kuasa seorang ayah.

Bagi mereka, ayah mesti menunjuk kuasa dan tidak boleh takut dan tunduk kepada anak-anak.

Tidak kurang juga perkara sebaliknya berlaku dalam lingkungan masyarakat kita, iaitu fenomena “absent fathering” atau “ayah yang ada tetapi tiada.”

Itulah juga di antara aspek pembangunan dan pembentukan institusi kebapaan yang perlu ditangani Nakhoda agar kaum ayah dalam masyarakat dapat meningkatkan kemahiran dan keupayaan kebapaan mereka dalam keluarga masing-masing.

Ingatlah bahawa peranan Nabi Ibrahim as dan peranannya sebagai seorang ayah masih lagi relevan, terutama dalam aspek komunikasi berkesan dan hasilnya dalam membentuk keperibadian jitu kepada diri Nabi Ismail as yang ketika itu masih lagi seorang anak remaja.

Nota: Penulis Anggota Jawatankuasa Kemudi Nakhoda, sebuah jawatankuasa kebapaan di bawah M Kuasa Tiga (M³) & Ketua Pegawai Eksekutif SuChi Success Initiatives Pte Ltd.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg