Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Skim baucar prasekolah boleh bawa kepada kesan sampingan tidak diingini

Oct 14, 2025 | 7:27 PM
skim baucar prasekolah
Singapura menggunakan pendekatan komprehensif agar prasekolah dimampui, dengan memastikan yuran untuk prasekolah yang disokong pemerintah adalah rendah. - Foto fail

Pelaksanaan skim baucar semata-mata boleh membawa kepada kesan sampingan yang tidak diingini seperti peningkatan dalam yuran prasekolah tanpa peningkatan yang sepadan dari sudut aksesibiliti atau mutu.

Sebagai contoh, di Hong Kong dan Britain, skim baucar prasekolah, antara lain, telah memburukkan ketidaksamaan selain mewujudkan persaingan yang tidak adil, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada saranan Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Encik Kenneth Tiong (GRC Aljunied), agar geran operator digantikan dengan subsidi bagi setiap kanak-kanak melalui baucar prasekolah untuk keluarga.

Encik Tiong telah memberikan beberapa saranan dalam usul penangguhan ‘Biayai Anak, Bukan Sekolah: Cadangan untuk Pendidikan Prasekolah yang Lebih Adil dan Pelbagai’ di sidang Parlimen pada 14 Oktober.

Antara lain, Encik Tiong juga berpendapat sistem baucar prasekolah akan memberi ibu bapa lebih autonomi untuk memilih prasekolah yang paling sesuai dengan keperluan anak mereka, dan membolehkan mekanisme pasaran berfungsi.

“Insentif sedemikian sebenarnya sudah pun wujud dalam bentuk subsidi penjagaan kanak-kanak yang diberikan kepada prasekolah berdasarkan jumlah kanak-kanak yang berdaftar.

“Ibu bapa pada masa kini lebih berhati-hati dan bijak dalam memilih prasekolah yang paling sesuai dengan keperluan serta kehendak anak mereka.

“Ini telah menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan pengendali prasekolah, sekali gus membawa kepada peningkatan mutu perkhidmatan dan pendidikan yang ditawarkan,” jelas Encik Chua.

Encik Chua menambah pemerintah berhasrat untuk memastikan bahawa pasaran kekal terbuka supaya ibu bapa terus mempunyai pilihan.

“Objektif utama kami adalah untuk memastikan kebolehcapaian, kemampuan dan mutu prasekolah untuk anak-anak mereka,” katanya.

Justeru, pemerintah menyediakan semua kanak-kanak Singapura dengan subsidi asas sehingga $300 setiap seorang untuk penjagaan kanak-kanak sehari penuh.

Ini di samping subsidi tambahan mengikut ujian kemampuan, bagi keluarga yang layak.

Selain itu, cadangan Encik Tiong untuk menyediakan baucar kepada prasekolah juga tidak semestinya akan meningkatkan gaji para pendidik.

Ini disebabkan kenaikan gaji mesti sepadan dengan kemahiran profesional dan sumbangan yang lebih tinggi, jawab Encik Chua.

“Tanpa pertimbangan yang sewajarnya untuk pembangunan kemahiran dan perlindungan, langkah sebegitu mungkin menghadapi risiko kenaikan yuran tanpa peningkatan yang sepadan dalam mutu pengajaran,” jelasnya.

Sebaliknya, langkah telah diambil untuk melabur dalam pembangunan profesional, meningkatkan kemajuan kerjaya dan memperbaiki keadaan kerja guru pendidikan awal kanak-kanak (EC).

Daripada usaha untuk meningkatkan mutu sektor EC, gaji pendidik dan pemimpin EC di pusat Skim Pengendali Utama (AOP) dan Pengendali Rakan Kongsi (POP) telah meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 19 peratus secara purata, dari 2022 hingga 2024.

Sementara itu, Encik Tiong telah mencadangkan untuk menggunakan baucar bagi mempertingkatkan sokongan kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Sebagai respons, Encik Chua berkata sokongan untuk kanak-kanak dengan keperluan pembangunan telah dipertingkatkan.

“Kami telah meningkatkan subsidi untuk perkhidmatan intervensi awal (EI) dan mempercepatkan peningkatan bilangan tempat yang dibiayai pemerintah.

“Ini untuk kanak-kanak yang memerlukan sokongan EI pada tahap sederhana sehingga tinggi, sebanyak hampir 80 peratus, sejak 2020,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg