Topic followed successfully
Go to BHkuSkim perwakilan kanak-kanak di Mahkamah Syariah terima maklum balas positif
Skim perwakilan kanak-kanak di Mahkamah Syariah terima maklum balas positif
Skim perwakilan kanak-kanak di Mahkamah Syariah terima maklum balas positif
Skim Perwakilan Kanak-kanak di Mahkamah Syariah (SYC) telah menerima maklum balas yang sangat positif daripada barisan Hakim sejak dilancarkan pada November 2023, umum Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Laporan Wakil Kanak-Kanak (CR) disifatkan Hakim-Hakim SYC sebagai amat penting, membantu pertimbangan mereka agar setiap keputusan dibuat demi kebaikan terbaik si anak.
Dr Faishal, yang juga Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), menjelaskan perkara ini sebagai jawapan kepada pertanyaan Anggota Parlimen, Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), pada 5 Mei.
“Pelantikan CR adalah salah satu kaedah kehakiman yang digunakan SYC untuk mencapai hasil terbaik bagi kebajikan kanak-kanak,” ujar Dr Faishal.
Beliau menerangkan, melalui laporan yang diserahkan kepada Mahkamah, CR menyampaikan pandangan si anak.
CR juga berkongsi pandangan tentang hubungan anak-anak dengan ibu bapa serta pihak lain, justeru membantu Hakim membuat keputusan yang paling bermanfaat buat mereka.
“Perluasan panel daripada dua kepada empat berkuat kuasa April 2026 akan membolehkan SYC melibatkan lebih ramai kanak-kanak merentasi kes keluarga sambil memastikan beban kes yang boleh diurus untuk setiap CR kekal terurus,” kata Dr Faishal.
Beliau menekankan laporan CR tidak didedahkan kepada ibu bapa kerana faktor kerahsiaan yang amat penting bagi keberkesanan proses tersebut.
Dr Faishal turut menegaskan kanak-kanak yang ibu bapanya sedang bercerai sangat sensitif dan hanya akan bersuara dengan jujur jika mereka rasa selamat untuk berbuat demikian.
“Jika kanak-kanak tahu pandangan mereka mungkin dikongsi dengan ibu bapa, mereka mungkin akan teragak-agak meluahkan diri secara bebas, sekali gus menjejaskan tujuan sebenar proses CR.
“Melindungi kerahsiaan ini memastikan Mahkamah menerima laporan yang paling jujur dan sahih tentang pandangan dan keperluan kanak-kanak tersebut,” kata Dr Faishal.
Beliau berkata SYC akan terus menyemak skim CR merentasi jangkauan panel dan mutu kerjanya dalam menyokong proses membuat keputusan kehakiman.
Ini adalah untuk memastikan suara sebenar anak-anak sentiasa didengari dan dipertimbangkan dalam prosiding yang membentuk kehidupan mereka, tambah Dr Faishal.
