Dua skim penyegaran bandar yang bertujuan merancakkan pusat bandar dengan membawa lebih banyak apartmen ke kawasan utama dan membangunkan semula bangunan komersial sedia ada, akan dilanjutkan selama lima tahun, kata Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.
Tetapi dua inisiatif itu – skim Insentif Kawasan Pusat Bandar (CBDI) dan Insentif Pembangunan Strategik (SDI) – yang memberi insentif kepada pemaju untuk melaksanakan projek-projek itu akan diperhalusi lagi, kata Encik Lee pada 7 Februari.
Bercakap kepada lebih 500 hadirin pada majlis makan tengah hari Pesta Musim Bunga Persatuan Pemaju Hartanah Singapura (Redas), Encik Lee berkata pihak berkuasa telah menyelesaikan semakan kedua-dua inisiatif itu selepas ia mencapai tahap lima tahun pada November 2024, lapor The Straits Times.
Skim CBDI bertujuan menggalak pengubahan bangunan lama yang kebanyakannya pejabat di CBD kepada bangunan pelbagai guna.
Ia menawarkan kepada pemaju, peningkatan dalam keluasan lantai kasar (GFA) maksimum yang dibenarkan, sebagai pertukaran untuk merubah penggunaan tanah daripada ruang pejabat kepada rumah atau hotel.
Skim SDI menggalak pemilik bangunan komersial sedia ada kemukakan satu cadangan pembangunan semula bersama dengan bangunan berjiran mereka, yang akan mengubah jalan atau presint berkenaan.
Kedua-dua skim telah diterima baik setakat ini dan akan diperhalusi dalam dua cara, kata Encik Lee.
Pertama, Encik Lee berkata pembangunan di kawasan Anson dan Cecil akan diperluaskan dengan lebih fleksibiliti untuk mengekalkan penggunaan komersial sedia ada di bawah CBDI, selagi ia menyediakan apartmen perkhidmatan dengan penginapan jangka panjang.
Apartmen perkhidmatan penginapan jangka panjang datang dengan tempoh penginapan minimum selama tiga bulan, berbanding apartmen perkhidmatan lain yang tempoh sewaan minimum ialah tujuh hari.
Sebelum perubahan ini, kelonggaran ini hanya diberikan kepada bangunan pejabat di kawasan Tanjong Pagar, Robinson Road dan Shenton Way.
Pembangunan ini dibenar mengekalkan penggunaan komersial sedia ada di bawah skim CBDI, selagi mereka mengubah sebahagian besar ruang pejabat mereka kepada kegunaan bukan komersial.
Encik Lee berkata perubahan itu, yang akan “memperkenalkan lebih banyak pilihan untuk orang yang ingin tinggal berhampiran tempat kerja mereka dan kemudahan di pusat bandar”, berlaku selepas pihak berkuasa menerima maklum balas hasil perbincangan dengan syarikat-syarikat bahawa ini boleh meningkatkan daya tarikan CBDI.
Perubahan kedua kepada kedua-dua skim akan memerlukan cadangan pembangunan semula untuk memenuhi keperluan kemampanan baru.
Permohonan untuk kedua-dua skim perlu memasukkan satu kenyataan kemampanan yang menilai kebolehlaksanaan pengubahsuaian sebahagian atau keseluruhan bangunan sedia ada itu, kata Encik Lee.
Satu penilaian pilihan berbeza bagi karbon tambahan, yang menimbang pemilihan pembangunan semula yang berbeza mengikut jumlah pelepasan karbon yang dihasilkan, mungkin juga diperlukan untuk kelulusan perancangan.
“Ini bermakna, untuk layak menerima insentif ini, pemaju dan pemilik bangunan kami kini perlu mempertimbangkan cara mengurangkan kesan pembangunan semula ke atas alam sekitar,” katanya.
Beliau menambah bahawa pihak berkuasa menyokong usaha menyegarkan semula dan memberi nafas baru kepada pusat bandar melalui pembangunan semula, tetapi ia tidak mahu “perobohan yang membazir dan pembinaan semula yang berlebihan, terutama jika bangunan-bangunan itu masih agak baru dan dalam keadaan baik”.
Melakukannya akan membazir sumber dan menjana pelepasan karbon yang ketara, kata beliau sambil menambah bahawa Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) akan mengeluarkan surat pekeliling perusahaan dengan butiran lanjut.
Encik Lee juga berkata kebanyakan daripada 17 cadangan CBDI dan 12 cadangan SDI telah diberi kelulusan secara prinsip.
Empat projek CBDI di kejiranan Anson-Tanjong Pagar – Newport Plaza, The Skywaters, 15 Hoe Chiang Road dan 51 Anson Road – sedang dalam pembinaan.
Apabila projek-projek itu siap, kawasan Anson-Tanjong Pagar akan mempunyai lebih 1,000 rumah di samping hotel, kedai dan kedai makan, serta ruang awam baru, kata Encik Lee.
“
“Pihak berkuasa menyokong usaha untuk menyegarkan semula dan memberi nafas baru kepada pusat bandar melalui pembangunan semula, tetapi ia tidak mahu perobohan yang membazir dan pembinaan semula yang berlebihan, terutama jika bangunan-bangunan itu masih agak baru dan dalam keadaan baik.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg