Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee beri penghormatan dalam upacara kebumi Abdullah Badawi di KL

PM Wong ucap takziah atas pemergian mantan PM M’sia
Apr 15, 2025 | 7:10 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, bersama isterinya, Cik Ho Ching, ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di ruang solat utama di Masjid Negara pada 15 April .
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, bersama isterinya, Cik Ho Ching, ketika memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, di ruang solat utama di Masjid Negara pada 15 April . - Foto BERNAMA

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan balu kepada mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Jeanne Abdullah, atas pemergian Allahyarham.

Dalam suratnya kepada Tun Jeanne, Encik Wong berkata beliau amat sedih apabila menerima berita pemergian Tun Abdullah yang disifatkan sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan disanjung tinggi.

“Atas nama pemerintah Republik Singapura, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Malaysia atas kehilangan besar ini,” kata Encik Wong.

Beliau mengenang jasa Tun Abdullah yang memimpin Malaysia sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009.

Menurut Encik Wong, Allahyarham Tun Abdullah banyak memberi inspirasi kepada rakyat dan berjaya mengangkat imej Asean di persada antarabangsa.

“Beliau juga mempertahankan semangat serantau Asean ketika dunia sedang mengalami perubahan besar. Tun Abdullah telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan membawa banyak kemajuan dalam pembangunan ekonomi dan sosial Malaysia,” katanya.

Dalam suratnya kepada Datuk Anwar, Encik Wong turut mengenang hubungan baik antara Malaysia dengan Singapura semasa kepimpinan Allahyarham.

Antaranya termasuk kerjasama dalam pembangunan Iskandar Malaysia yang mendapat sokongan kuat daripada Singapura sejak ia mula diperkenalkan.

Beliau turut menyatakan bahawa kedua-dua negara telah mencatat kemajuan dalam menyelesaikan isu-isu dua hala, termasuk persetujuan untuk menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kedaulatan Pedra Branca dan Middle Rocks.

“Walaupun berdepan cabaran, Tun Abdullah sentiasa mengutamakan perbincangan secara matang dan berhemah.

“Personaliti beliau yang mesra sering meredakan suasana tegang dalam hubungan kedua-dua negara,” kata Encik Wong dalam ucapan takziahnya.

Menteri Kanan Singapura, Encik Lee Hsien Loong, pula tiba di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 15 April bagi menghadiri upacara pengebumian Allahyarham Tun Abdullah.

Encik Lee hadir bersama isterinya, Cik Ho Ching, dan para pegawai dari Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA). Upacara pengebumian Allahyarham Tun Abdullah diadakan sekitar 2 petang selepas solat zuhur.

Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, yang terletak dalam kawasan Masjid Negara di Kuala Lumpur.

Allahyarham Tun Abdullah, 85 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada 14 April sekitar 7.10 malam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, selepas sekian lama menghidap penyakit demensia.

Dikenali ramai dengan panggilan mesra ‘Pak Lah’, beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia kelima dari Oktober 2003 hingga April 2009, iaitu dalam tempoh yang hampir sama dengan perkhidmatan Encik Lee sebagai Perdana Menteri Singapura.

Dalam hantaran di Facebook pada 15 April, Encik Lee berkata beliau mengenali Allahyarham ‘Pak Lah’ sebelum kedua-dua mereka menjawat jawatan tertinggi negara masing-masing.

“Beliau berkhidmat untuk negaranya dengan penuh dedikasi, bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam menghadapi cabaran dan berusaha meningkatkan kehidupan rakyat Malaysia,” kata Encik Lee.

“Saya berasa amat berbesar hati mengenali Pak Lah dan berkesempatan berbual dengan beliau dalam suasana mesra sepanjang tahun-tahun tersebut.”

Beberapa tokoh penting Malaysia turut hadir memberi penghormatan terakhir, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Encik Najib Tun Razak. Dr Mahathir hadir bersama anaknya, Encik Mukhriz Mahathir, mantan Menteri Besar Kedah.

Encik Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara, hadir diiringi polis Malaysia selepas mendapat kebenaran khas Mahkamah Tinggi untuk menghadiri pengebumian tersebut.

Orang ramai turut memenuhi Masjid Negara bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Abdullah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg