Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee gesa pelajar mendewasa lebih teguh, bantu orang lain

May 19, 2024 | 7:00 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Merit Pendidikan Teck Ghee CCC-CDC di Sekolah Rendah Ang Mo Kio pada 19 Mei.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Merit Pendidikan Teck Ghee CCC-CDC di Sekolah Rendah Ang Mo Kio pada 19 Mei. - Foto ZAOBAO

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menggesa pelajar supaya tidak hanya memberi tumpuan pada pembelajaran akademik, malah pembangunan holistik supaya menjadi individu yang boleh membantu orang lain dan mampu berdepan dengan cabaran masing-masing.

“Memang penting menunjukkan kelakonan baik dalam bilik darjah, tetapi kami ingin menjadikan anda orang yang dewasa secara keseluruhan,” kata Encik Lee, semasa bercakap kepada pelajar di majlis anugerah merit pendidikan di kawasan undi beliau pada 19 Mei.

“Ia bukan sahaja mengetahui apa yang terkandung dalam buku – saya jangka anda tidak akan mengingati kesemua kandungan itu, lima atau 10 tahun selepas anda tamat pengajian – tapi bagaimana hendak menjadi orang yang baik, membantu rakan, menolong jiran, berdepan dengan kesusahan, menangani dugaan, supaya anda boleh bingkas bangun dan berkata ‘Saya okey, ayuh teruskan’.”

Encik Lee berkata demikian di majlis penyampaian anugerah merit pendidikan Jawatankuasa Perundingan Rakyat Teck Ghee – Majlis Pembangunan Masyarakat yang diadakan di Sekolah Rendah Ang Mo Kio.

Di majlis itu, anugerah dan baucar buku dihadiahkan kepada 360 pelajar dari peringkat sekolah rendah ke prauniversiti yang tinggal di kawasan undi itu.

Ia adalah acara pertama Encik Lee, sejak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 15 Mei dan dilantik sebagai Menteri Kanan.

Encik Lee menekankan keperluan untuk membentuk pelajar yang teguh dan yang mempelajari sikap ini dalam bilik darjah daripada guru-guru, hubungan dengan rakan sedarjah dan menyandang peranan kepimpinan.

Dengan cara itu, mereka juga boleh belajar cara mengatasi perbezaan pendapat dan bekerja di sisi satu sama lain.

“Kami sayang anda apabila anda terjatuh dan menangis serta memberikan kasih sayang sepenuhnya. Tapi pada masa yang sama, anda perlu bangun sendiri, rawat diri sendiri dan teruskan usaha,” tambah beliau,

Encik Lee juga berkata ada banyak laluan untuk maju dan sistem di Singapura membolehkan individu maju memilih laluan yang paling sepadan dengan kekuatan diri, sama ada dalam bidang seni, sains, muzik, sukan atau penulisan.

“Kami cuba membantu anda menggunakan bakat yang ada sepenuhnya dan membantu anda mendewasa… menjadi orang terbaik yang memenuhi potensi anda,” ujar Encik Lee.

Ibu bapa, seperti Encik Tan Hock Seng, 49 tahun dan isterinya, Cik Peony Yeung, 45 tahun, bersetuju dengan gesaan Encik Lee supaya pelajar memupuk kemahiran melebihi ilmu yang diraih daripada buku.

“Kami mahu anak-anak kami mendewasa secara lebih holistik berbanding dengan tumpuan pada pendidikan akademik sahaja, kerana semasa kami mendewasa, lebih banyak tumpuan diberikan kepada pendidikan akademik,” kata Encik, Tan, seorang pengarah syarikat.

Dua orang anaknya, Hailey Tan, 11 tahun dan Haydon Tan, sembilan tahun menerima anugerah di majlis tersebut.

Pasangan adik-beradik itu menuntut di Sekolah Rendah Ang Mo Kio. Hailey berkhidmat sebagai councillor atau ketua murid dan menganggotai kelab drama bahasa Inggeris, sementara Haydon menyertai atletik.

“Sebagaimana Encik Lee katakan dalam ucapannya, orang lain boleh membantu anda apabila anda terjatuh, tetapi pada dasarnya, anda perlu bangkit sendiri… itulah yang saya ajarkan kepada anak-anak saya,” kata Encik Tan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg