Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: GIC percaya pada potensi jangka panjang AS, walau anggaran pulangan lebih sukar

Nov 14, 2024 | 5:45 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di majlis makan malam GIC Insights 2024 di New York City pada 13 November sempena ulang tahun ke-40 kehadiran GIC di Amerika Syarikat. Katanya, kededua pihak telah membina perkongsian yang kukuh, produktif dan saling menguntungkan.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, di majlis makan malam GIC Insights 2024 di New York City pada 13 November sempena ulang tahun ke-40 kehadiran GIC di Amerika Syarikat. Katanya, kededua pihak telah membina perkongsian yang kukuh, produktif dan saling menguntungkan. - Foto MDDI

Misi Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) semakin sukar dalam iklim geopolitik yang lebih gelap dan rumit, tetapi dana kekayaan negara itu masih percaya pada potensi jangka panjang ekonomi Amerika Syarikat.

Menyatakan demikian, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menambah bahawa menganggarkan pulangan terlaras risiko akan menjadi lebih sukar.

“Kita bukan lagi hanya mengira risiko stokastik (rawak) dan kuantitatif yang boleh kita jadikan contoh dan anggarkan, tetapi juga menilai ketidakpastian yang lebih sukar untuk diramalkan, dan senario dengan kebarangkalian yang tidak boleh diukur serta akibat yang tidak dapat dijangka,” kata beliau di majlis makan malam GIC Insights 2024 di New York City pada 13 November.

Pengurus dana seperti GIC kini perlu menangani “sekumpulan cabaran yang berbeza sama sekali”, kata Encik Lee, lapor The Business Times.

Mereka menghadapi persoalan seperti sama ada kitaran biasa kemelesetan dan pemulihan akan berterusan atau terganggu, dan sama ada pasaran akan terus berfungsi atau terjejas oleh peristiwa geopolitik dengan cara tidak sekata.

Namun, GIC terus melihat peluang pelaburan dalam ekonomi terbesar dunia itu, terutama dalam teknologi iklim dan kemampanan, kata Encik Lee, yang merupakan pengerusi lembaga GIC.

Selain membantu menyahkarbonkan ekonomi global, pelaburan sedemikian juga boleh memberi manfaat kepada masyarakat tempatan, kata beliau sambil memberi contoh dua syarikat portfolio di Amerika.

Satu daripadanya ialah membina loji bateri di West Virginia, yang akan menghasilkan bateri udara waja (iron-air) untuk penyimpanan tenaga jangka panjang, dan mewujudkan beratus-ratus pekerjaan.

Satu lagi syarikat sedang bekerjasama dengan daerah-daerah sekolah di seluruh Amerika untuk mengelektrik bas sekolah.

“Kami berhasrat sepenuhnya untuk terus melabur di Amerika dan mengekalkan aset di Amerika sebagai sebahagian besar daripada keseluruhan portfolio kami,” katanya.

Sejarah perkongsian

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-40 kehadiran GIC di Amerika, dengan kedua-duanya telah membina “perkongsian yang kukuh, produktif dan saling menguntungkan” dalam empat dekad yang lalu, kata Encik Lee.

Dana itu membuka pejabat antarabangsanya yang pertama di New York City hanya tiga tahun selepas ia ditubuhkan pada 1981, kerana ia sedar sejak awal bahawa ia perlu memasuki pasaran Amerika.

Kini, Amerika kekal sebagai ekonomi paling “utama, dinamik dan berdaya tahan” di dunia dan destinasi pilihan untuk orang berbakat dan berdaya usaha di seluruh dunia, kata Encik Lee.

Pada masa ini, satu pertiga daripada portfolio global GIC berada di Amerika.

Dana itu mempunyai pejabat di New York dan San Francisco, dan “beratus-ratus rakan kongsi perniagaan” di negara itu.

Encik Lee berkata tempoh pelaburan beberapa dekad GIC dalam pasaran Amerika tidak selalu bergerak lancar.

Masa yang sukar termasuk kejatuhan pasaran saham Black Monday pada 1987, kepesatan dan kemerosotan dot-com, Krisis Kewangan Global 2008 dan pandemik Covid-19.

Namun, beliau berkata dana kekayaan negara itu telah dapat mengharungi badai kerana ia mengambil pendekatan jangka panjang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg