Topik diikuti
Pergi ke BHkuSM Lee lawat Brunei dari 14-17 Jul, sambut ulang tahun ke-80 Sultan Brunei
SM Lee lawat Brunei dari 14-17 Jul, sambut ulang tahun ke-80 Sultan Brunei
SM Lee lawat Brunei dari 14-17 Jul, sambut ulang tahun ke-80 Sultan Brunei
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, akan melawat Brunei Darussalam dari 14 hingga 17 Julai sebagai wakil pemerintah Singapura ke sambutan ulang tahun ke-80 Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.
Encik Lee akan diiringi isterinya, Cik Ho Ching, dan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 13 Julai.
Dalam surat ucapan tahniah kepada Sultan Hassanal Bolkiah, Encik Lee berkata mantan Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew, amat menghargai hubungannya dengan Sultan Omar Ali Saifuddien, ayah Sultan Hassanal Bolkiah.
Kedua-dua pemimpin telah meletakkan asas bagi “persahabatan yang istimewa dan dipercayai” antara kedua-dua negara, tambahnya.
“Saya berbesar hati kerana generasi pemimpin kedua-dua belah pihak menghargai sepenuhnya kepentingan hubungan penting kita dan komited untuk mengembangkannya pada masa hadapan,” jelas Encik Lee.
Sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi, Encik Lee akan menghadiri Perbarisan Kawalan Kehormatan Diraja dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran pada 15 Julai serta Jamuan Diraja pada 16 Julai.
Semasa lawatannya, Encik Lee juga akan bertemu Sultan Hassanal Bolkiah dan ahli Keluarga Diraja yang lain.
Beliau juga akan bertemu dengan pelbagai Menteri Brunei dan kakitangan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang sedang menjalani latihan di Brunei.
Presiden Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dan Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong turut menulis surat tahniah, kepada Sultan Hassanal Bolkiah.
Dalam suratnya, Tuan Presiden memuji kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah yang bijaksana dan berpandangan jauh, yang telah membolehkan Brunei menikmati keamanan, kestabilan dan kemajuan selama beberapa dekad.
Beliau juga memuji visi Sultan Hassanal Bolkiah yang bernas untuk pemodenan dan pembangunan Brunei yang telah meningkatkan kehidupan generasi rakyat Brunei.
“Baginda juga telah memainkan peranan penting dalam memupuk hubungan istimewa dan berkekalan antara kedua-dua negara kita.
“Saya telah berpeluang berinteraksi dengan Baginda beberapa kali sejak awal saya berada dalam politik dan pemerintah, dan secara peribadi menyaksikan bagaimana Singapura dan Brunei telah mengekalkan hubungan yang stabil, saling menghormati dan mendalam di bawah kepimpinan Baginda,” tambahnya.
Dalam suratnya, Encik Wong pula berkata sejak kemerdekaan Brunei pada 1984, Sultan Hassanal Bolkiah telah mengemudi negara dengan tangkas melalui cabaran luar biasa dalam dunia yang pantas berubah.
Sama seperti Singapura, Encik Wong berkata Brunei adalah sebuah negara kecil yang mesti berdiri di atas kakinya sendiri dan kekal terbuka kepada seluruh dunia.
Encik Wong juga memuji Sultan Hassanal Bolkiah atas sokongan padu Baginda selama ini, yang telah membolehkan “hubungan istimewa yang dikongsi oleh kedua-dua negara” bertahan mengharungi segala ujian masa.
“Kerjasama pertahanan dan kewangan dua hala kita yang kukuh telah menjadi asas kepada hubungan kita yang kukuh.
“Saya gembira kerana kita memperingati ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan pada 2026 dan ulang tahun ke-60 Perjanjian Pertukaran Mata Wang pada 2027.
“Saya yakin kerjasama kita, berdasarkan kepercayaan dan rasa hormat bersama, akan terus kukuh pada tahun-tahun akan datang dan membawa lebih banyak peluang untuk pembangunan dan kesejahteraan rakyat kita,” kata Encik Wong.
