Singapura dan Brunei berkongsi “persahabatan istimewa”, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, yang tiba di negara itu pada 14 Julai bagi menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 Sultan Hassanal Bolkiah.

Encik Lee, yang akan berada di Brunei dari 14 hingga 17 Julai, mewakili pemerintah Singapura dalam sambutan ulang tahun tersebut, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang dikeluarkan pada 13 Julai.

Menerusi hantaran di media sosial pada 14 Julai, Encik Lee berkata sudah lebih dua tahun sejak lawatan terakhir beliau ke Brunei.

“Kedua-dua negara berkongsi satu persahabatan istimewa yang dibina atas kepercayaan yang terjalin sejak sekian lama, kerjasama erat serta hubungan kukuh antara rakyat,” kata beliau.

Pada 15 Julai, Lee dijadual menghadiri perbarisan kawalan kehormat diraja dan istiadat penganugerahan sebagai sebahagian daripada sambutan rasmi ulang tahun Sultan Hassanal Bolkiah.

Beliau juga akan menghadiri jamuan diraja pada 16 Julai.

Sepanjang lawatan itu, Encik Lee akan bertemu Sultan Hassanal Bolkiah dan beberapa ahli keluarga diraja, selain mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri Brunei.

Beliau turut dijadual bertemu anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang sedang menjalani latihan di negara itu.

Encik Lee diiringi isterinya serta Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming.

Sempena ulang tahun ke-80 Sultan Hassanal Bolkiah, Encik Lee turut menulis surat tahniah kepada beliau.

Encik Lee berkata bahawa beliau amat berbesar hati dapat bersama-sama meneruskan persahabatan istimewa yang berteraskan kepercayaan antara Singapura dengan Brunei.

Beliau turut melahirkan rasa gembira melihat generasi baharu pemimpin di kedua-dua negara memahami sepenuhnya betapa pentingnya hubungan antara kedua-dua negara itu dan komited untuk terus memperkukuhkannya pada masa hadapan.

Selain Encik Lee, Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam, Perdana Menteri Lawrence Wong dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong turut mengutuskan surat ucapan tahniah kepada Sultan Hassanal Bolkiah.

Sultan Hassanal Bolkiah, yang menaiki takhta pada 1967, memegang beberapa jawatan di Brunei, termasuk jawatan sebagai Perdana Menteri.

Dalam suratnya, Tuan Presiden berkata Sultan Hassanal Bolkiah memainkan peranan penting dalam membina hubungan istimewa yang berkekalan antara Singapura dan Brunei.

Beliau juga berkata bahawa beliau sendiri telah menyaksikan bagaimana Singapura dan Brunei “berjaya mengekalkan hubungan yang stabil, saling menghormati dan terus berkembang” di bawah kepimpinan Sultan Hassanal Bolkiah.

Sementara itu, Encik Wong berkata Sultan Hassanal Bolkiah telah “memimpin Brunei dengan penuh kebijaksanaan” dalam mengharungi pelbagai cabaran luar biasa dalam dunia yang pesat berubah sejak negara itu mencapai kemerdekaan pada 1984.

Beliau berkata Brunei, seperti Singapura, adalah sebuah negara kecil yang perlu berdikari serta terus terbuka kepada dunia.

Beliau juga berkata rakyat Brunei daripada pelbagai lapisan masyarakat hari ini menikmati keamanan, keharmonian dan kemakmuran, yang menjadi bukti kepada kepimpinan cemerlang Sultan Hassanal Bolkiah.

Encik Wong turut berkata:

“Dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada Sultan selama ini, hubungan istimewa yang dikongsi oleh kedua-dua negara kita telah berjaya mengharungi peredaran zaman.”

“Kerjasama erat dalam bidang pertahanan dan kewangan antara kedua-dua negara menjadi antara tonggak utama yang mengukuhkan hubungan dua hala kita.”