Perjuangan Singapura pada tahun-tahun awalnya menentang penjajahan, komunisme dan komunalisme merupakan “faktor penting” yang telah membawa negara kecil ini kepada apa yang telah dibangunkan sekarang, kata Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong.
Daripada memerangi penjajah untuk hak pemerintahan sendiri; menangkis ancaman komunis dan kemudian terpaksa melawan desakan politik yang berasaskan kaum – Encik Lee berkata “sejarah penting” dan keadaan ini telah mewujudkan cita-cita asas yang terus menyokong kenegaraan Singapura.
“Disebabkan pengalaman ini, generasi pemimpin dan rakyat mengetahui dengan tepat apa yang dipertaruhkan dan mereka bertekad bekerja keras dan menjadikan visi menjadi realiti.
“Sebab itu, jika orang lain cuba meniru resipi kami atau walaupun kami sendiri menempuh perjalanan yang sama sekali lagi dan berharap untuk ke sini lagi, kami mungkin tidak akan tiba di tempat yang sama,” kata Encik Lee.
Mantan Perdana Menteri Singapura itu berkata demikian ketika berucap di acara tahunan Ceramah Edwin L. Godkin di Sekolah Pemerintah John F. Kennedy di Universiti Harvard di Boston, Amerika Syarikat, pada 13 November.
Encik Lee, yang merupakan Zamil Mason di Sekolah Pemerintah Kennedy, Universiti Harvard, dari 1979 hingga 1980, kini berada dalam lawatan ke Amerika dari 10 hingga 18 November.
Dalam ucapannya, Encik Lee berkongsi bagaimana pemerintah terdahulu sehingga kini telah bekerja keras membina kepimpinan dan institusi negara dengan membina perkhidmatan awam dan kepimpinan politik yang berwibawa.
Ini, katanya, telah membenarkan pemerintah “melakukan perkara yang betul” untuk Singapura dalam bidang seperti ekonomi, perpaduan sosial, pembinaan negara dan penetapan dasar luar.
“Kami meletakkan keutamaan tinggi pada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi. Tanpa pertumbuhan, kita tidak akan mempunyai sumber untuk melakukan semua perkara baik yang kita cita-citakan.
“Selain ekonomi, kami membina masyarakat yang bersatu padu dan negara yang kuat kerana kita bukan sekadar ekonomi, kita adalah sebuah negara.
“Kami juga membina identiti nasional dalam kalangan masyarakat pendatang poliglot (yang boleh bertutur dalam banyak bahasa) yang telah menetap di Singapura,” kata Encik Lee.
Encik Lee menambah bahawa pemerintah, dari dahulu hingga ke sekarang, membuat perkiraan jangka panjang dan mengambil langkah-langkah politik yang sukar tetapi penting untuk kepentingan Singapura kerana “keyakinan dan kepercayaan mendalam” yang telah diberikan oleh rakyat Singapura.
Namun, Encik Lee memberi amaran bahawa pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang telah berkuasa selama lebih 60 tahun, telah berhati-hati untuk tidak mengambil mudah sokongan rakyat kerana tiada apa yang akan menghalang rakyat Singapura daripada mengundi keluar parti pemerintah itu.
Memandang ke hadapan, beliau berkata cabaran-cabaran baru akan timbul untuk Singapura, justeru pemerintah dan rakyatnya mesti terus memperbaharui kompaknya dalam setiap generasi supaya pasukan baru, yang mempunyai idea baru, dapat menangani cabaran baru masa depan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg