Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Imigrasi penting demi penakatan S’pura

Rakyat S’pura perlu main peranan, alu-alu warganegara baru sebagai anggota masyarakat berharga
Mar 9, 2025 | 8:12 PM
Berucap di Majlis Kerakyatan Teck Ghee di Politeknik Nanyang pada 9 Mac, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata rakyat baru membawa pengalaman baru, pelbagai perspektif dan hubungan global – sesuatu yang diperlukan untuk terus mengembangkan ekonomi Singapura.
Berucap di Majlis Kerakyatan Teck Ghee di Politeknik Nanyang pada 9 Mac, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata rakyat baru membawa pengalaman baru, pelbagai perspektif dan hubungan global – sesuatu yang diperlukan untuk terus mengembangkan ekonomi Singapura. - Foto ST

Warganegara baru Singapura membawa bersama mereka satu aspek tambahan yang penting dengan memperkaya masyarakat dan mencergaskan ekonomi kita.

Kehadiran mereka lebih daripada setakat angka yang membantu menambah kependudukan negara ini, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Berucap pada Majlis Kewarganegaraan Teck Ghee di Politeknik Nanyang (NYP) pada 9 Mac, Encik Lee berkata warga negara baru ini membawa pengalaman baru, pelbagai perspektif dan hubungan global – sesuatu yang diperlukan untuk terus mengembangkan ekonomi Singapura.

“Anda membantu menghubungkan kita dengan dunia, dan berkembang maju sebagai sebuah hab serantau dan nod global,” kata beliau.

Menurut Encik Lee, beginilah cara bandar seperti London, New York dan Shanghai, menjadi pusat kebudayaan dan kemakmuran yang hebat, dengan kemasukan pendatang baru yang menajamkan kota ini, mencetus perkongsian silang idea dan budaya serta mewujudkan persekitaran inovasi dan perusahaan yang berterusan.

Walaupun imigrasi akan membawa lebih banyak persaingan, Encik Lee berkata ia juga akan mewujudkan ekonomi lebih bertenaga, bagi mendorong negara ini menjadi lebih kukuh dan lebih berkebolehan serta menjana peluang lebih baik dan prospek lebih cerah untuk anak cucu.

“Imigrasi adalah penting – bahkan wujud – untuk penakatan Singapura,” kata beliau.

“Singapura juga mesti selalu terbuka kepada idea dan bakat dari seluruh dunia. Inilah caranya kita menjadi titik merah yang bersinar kerana nenek moyang kita datang ke sini dari pelbagai negara, menjadikan ini rumah mereka dan membina negara ini.

“Dan inilah yang mesti kita terus lakukan, untuk bersinar lebih cerah pada masa hadapan – bukan hanya untuk kepentingan kita sendiri, malah untuk anak cucu kita juga,” tambah beliau.

Namun, Encik Lee mengakui bahawa imigrasi adalah isu sensitif di mana-mana negara, dengan terdapat ketegangan antara pendatang baru dengan penduduk yang sudah ada di dalam negara.

Beliau berkata pemerintah boleh memainkan peranan besar dalam menangani ketegangan itu untuk menjadikan imigrasi satu kelebihan untuk masyarakat.

Di Singapura, pemerintah amat sedar tentang keperluan menangani isu imigrasi dan integrasi dengan sensitif, terutamanya kerana angka kemasukan pendatang baru tidak kecil, tambah beliau.

Setiap tahun, Singapura memberikan kerakyatan kepada sekitar 22,000 individu, manakala sekitar 30,000 bayi rakyat Singapura dilahirkan.

Jumlah kadar kesuburan (TFR) Singapura kekal rendah pada 2024 iaitu 0.97 – sama seperti 2023, di mana kali pertama dalam sejarah negara, TFR merosot bawah paras 1.0.

Memberi contoh apa yang berlaku di Eropah, Encik Lee berkata kedatangan pendatang baru yang begitu ramai sekali telah mencetuskan sikap nativis (mengutamakan anak watan sesebuah negara) yang kuat.

Sekali-sekala juga terdapat beberapa kejadian malang yang melibatkan pendatang melakukan jenayah, sekali gus memperdalamkan perpecahan dalam masyarakat.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita menguruskan aliran masuk imigrasi kita dengan berhati-hati: memastikan ia diukur dan seimbang; memberi perhatian kepada hubungan dan keharmonian antara kumpulan etnik yang berbeza dan orang yang berada di sini; dan membawa masuk orang yang boleh menyesuaikan diri dan menambah masyarakat kita,” kata beliau.

Negara ini turut melakukan pelbagai usaha menyepadukan rakyat baru ke dalam masyarakat Singapura, termasuk program Perjalanan Kewarganegaraan Singapura.

Sedang warganegara baru berusaha mengintegrasikan diri mereka dan belajar tentang nilai dan norma budaya Singapura, rakyat Singapura juga perlu memainkan peranan dengan mengalu-alukan warganegara baru sebagai anggota berharga masyarakat Singapura.

“Bagi membantu warganegara baru menyesuaikan diri − berasa seperti di rumah sendiri di sini, untuk mengetahui cara masyarakat kita berfungsi, dan bagaimana kita boleh hidup harmoni bersama.

“Dan dengan tegas menolak mereka yang mempermainkan sentimen nativis dan xenofobia (prejudis terhadap individu dari negara lain) untuk kepentingan politik, yang akan mendatangkan kemudaratan besar kepada masyarakat kita,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg