Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Kejayaan S’pura selama 60 tahun bukan satu kebetulan

Rakyat digesa agar tidak leka, lakar masa depan baru bagi negara
Aug 27, 2025 | 6:38 PM
Lee Hsien Loong, Zaqy Mohamad, Jasmin Lau, Eric Chua
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tiga dari kiri), melafazkan ikrar kebangsaan bersama Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kiri); Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau (tiga dari kanan); serta Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua (dua dari kanan). - Foto MDDI

Kejayaan Singapura sejak 60 tahun lalu tidak datang secara kebetulan, malah melalui usaha rakyat Singapura daripada generasi terdahulu yang memilih untuk bekerja keras, merebut peluang dan terus bersatu, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Dalam satu hantaran Facebook pada 27 Ogos, Encik Lee menggesa rakyat Singapura agar tidak leka dan terus mengorak langkah baru bagi masa depan negara.

Beliau berkata demikian kepada sekitar 600 warga Singapura di luar negara semasa menghadiri acara Sambutan Hari Kebangsaan Ulang Tahun Kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60) di Tokyo, Jepun, pada 26 Ogos.

“Kejayaan negara kita tidak pernah datang secara kebetulan. Kita telah mencipta nasib yang baik ini dengan merebut peluang, kekal bersatu dan bekerja keras.

“Sepertimana kita telah maju atas usaha generasi ibu bapa dan datuk nenek kita, ramai di antara kita kini sedang berusaha dengan sebaik-baiknya untuk membantu anak-anak kita dan generasi seterusnya melangkah lebih jauh,” kata Encik Lee.

Encik Lee mengadakan lawatan kerja ke Osaka dan Tokyo, dari 21 hingga 27 Ogos.

Beliau menjadi tetamu bagi sesi makan tengah hari bersama Perdana Menteri Jepun, Encik Ishiba Shigeru, pada 25 Ogos dan menerima penghormatan berprestij Jepun, Grand Cordon of the Order of the Rising Sun.

Grand Cordon adalah anugerah peringkat tertinggi Order of the Rising Sun, sebuah pengiktirafan dwitahunan yang dianugerahkan oleh Maharaja Jepun.

Ia dianugerahkan kepada mereka yang telah memberi sumbangan terbilang kepada Jepun dan rakyatnya.

Semasa di Jepun, Encik Lee berkesempatan bertemu mantan Perdana Menteri, Encik Kishida Fumio; pasangan mendiang Perdana Menteri, Encik Abe Shinzo, Cik Abe Akie; pemimpin perniagaan Jepun; ahli Liga Persahabatan Parlimen Jepun-Singapura; dan sekumpulan ahli politik muda Jepun.

Beliau turut menemui pemimpin perniagaan Jepun yang berpangkalan di Osaka dan Kansai serta melawat kemudahan pengeluaran lanjutan Shimano.

Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan pada 27 Ogos, berkata pertemuan itu telah memberi peluang bagi kedua-dua negara untuk memajukan kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital, ekonomi hijau, teknologi pertahanan dan kemampanan.

“Mesyuarat-mesyuarat ini mencerminkan kekuatan dan keteguhan hubungan Singapura dengan Jepun dan menyediakan peluang bagi memajukan kerjasama dua hala dalam bidang-bidang penting yang membawa manfaat kepada kedua-dua negara.

“(Ia juga) mengesahkan hubungan ekonomi Singapura yang telah lama terjalin dan mendalam dengan Jepun,” kata PMO.

Lawatan Encik Lee ke Osaka dan Tokyo diadakan menjelang ulang tahun ke-60 termeterainya hubungan diplomatik antara Singapura dengan Jepun pada 2026.

Beliau diiringi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; serta Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua.

Dalam hantaran di Facebook pada 27 Ogos, Encik Lee berkata: “Ketika kita meraikan ulang tahun negara yang ke-60, janganlah kita leka, sebaliknya tanya diri – ke manakah kita pergi dari sini dan bagaimana kita akan ke sana?

“Dengan azam untuk menjadikan negara kita lebih bersinar, saya yakin kita boleh menyambut Hari Kebangsaan akan datang dengan lebih yakin, harapan lebih tinggi dan masa depan yang lebih baik untuk semua.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg