Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Lebih banyak kerjasama antarabangsa diperlukan

Ini sedang sistem pelbagai hala berasaskan peraturan kini hadapi tekanan
Aug 24, 2025 | 3:50 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berucap di Sambutan Hari Kebangsaan Singapura di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun, pada 24 Ogos.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berucap di Sambutan Hari Kebangsaan Singapura di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun, pada 24 Ogos. - Foto MDDI

Lebih banyak kerjasama antarabangsa diperlukan, sedang sistem pelbagai hala berasaskan peraturan kini menghadapi tekanan.

Mentelah lagi dengan manusia berdepan cabaran rentas sempadan yang tidak boleh ditangani secara bersendirian seperti perubahan iklim, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Sambutan Hari Kebangsaan Singapura di Ekspo 2025 di Osaka, Jepun, pada 24 Ogos.

“Sama seperti kejayaan Ekspo ini hanya dapat dicapai melalui penyertaan aktif rakan-rakan dari seluruh dunia, begitu jugalah zaman ini menuntut lebih banyak, bukan kurang, kerjasama antarabangsa,” ujar Encik Lee.

Acara tersebut menghimpunkan orang ramai dan memaparkan inovasi dari serata dunia untuk menangani isu yang dihadapi manusia pada skala sejagat.

Encik Lee berkata selama lapan dekad, sistem pelbagai hala telah membawa keamanan dan kemakmuran.

Di bawah sistem tersebut, Singapura berkembang maju, bahkan aktif memainkan peranan dalam institusi global seperti Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO).

“Singapura telah menjadikan diri kami sebahagian penting daripada rantaian bekalan global; dan ekonomi kecil serta terbuka kami berkembang pesat, justeru sebab itulah Singapura amat menghargai kerjasama antarabangsa.

“Keadaan inilah yang membolehkan Singapura bukan sahaja bertahan, bahkan terus maju,” kata beliau.

Merujuk kepada tema Ekspo 2025 iaitu ‘Mereka Bentuk Masyarakat Masa Depan untuk Kehidupan Kita’ dan slogan iklan pavilion Singapura iaitu ‘Di Mana Impian Jadi Kenyataan’, Encik Lee akur bahawa ia gambaran sebenar semangat dan perjalanan pembangunan Singapura.

Lebih daripada sekadar slogan menarik, ia mencerminkan tekad pemimpin pengasas Singapura dalam mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama 60 tahun yang lalu.

Meskipun terdapat perbezaan kaum, agama dan latar belakang, mereka bersatu secara harmoni demi tujuan bersama dan harapan untuk kehidupan yang lebih baik.

“Generasi demi generasi rakyat Singapura tidak pernah berhenti mempercayai kuasa impian. Kita sama-sama berusaha mencipta peluang walaupun menghadapi cabaran untuk membina tempat di mana impian boleh menjadi kenyataan.

“Pavilion Singapura mengabadikan kisah harapan dan keupayaan ini, serta menzahirkan semangat rakyat Singapura yang tidak mudah patah dan keyakinan bahawa kita boleh menentukan nasib sendiri,” kongsi Encik Lee.

Sementara itu, beliau menekankan hubungan erat dan kerjasama strategik antara Singapura dan Jepun, yang telah berkembang sejak beberapa dekad lalu.

Ini sejajar dengan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara tersebut pada 2026.

“Pemimpin kedua-dua negara berturut-turut telah memupuk hubungan ini dengan teliti dan mereka telah menemui cara-cara untuk bergerak melangkaui masa lampau sejarah yang sukar, untuk menjalin kerjasama berdasarkan kepentingan ekonomi dan strategik bersama,” kata Encik Lee.

Pelaburan Jepun memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Singapura, dengan syarikat seperti Sony, Panasonic, dan Shimano mewujudkan ribuan pekerjaan dan memindahkan kepakaran teknikal, kata Encik Lee.

Tambah beliau, hubungan ekonomi ini terus berkembang, di mana syarikat kedua-dua negara kini bekerjasama dalam projek kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian bandar pintar.

Kehadiran Encik Lee di Ekspo 2025 adalah sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Osaka dan Tokyo, Jepun dari 21 hingga 27 Ogos.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 20 Ogos, beliau akan bertemu Perdana Menteri Jepun, Encik Ishiba Shigeru, bagi menerima Anugerah ‘Grand Cordon of the Order of the Rising Sun’ semasa di sana.

Beliau diiringi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; serta Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua.

Beliau turut diiringi pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan PMO.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg