Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Ketegangan global boleh jadi ‘titik peralihan’ dalam perdagangan dunia

S’pura harap perdagangan dunia terus berkembang walau dengan ketidakpastian yang ada
Mar 24, 2025 | 5:37 PM
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura berharap perdagangan dunia akan terus berkembang, walaupun dengan ketegangan dan ketidakpastian yang akan datang.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata Singapura berharap perdagangan dunia akan terus berkembang, walaupun dengan ketegangan dan ketidakpastian yang akan datang. - Foto ST

Dunia tidak boleh menganggap perdagangan global akan terus berkembang sejajar dengan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) di tengah ketegangan dan ketidaktentuan dasar, termasuk yang disebabkan oleh pentadbiran baru di Amerika Syarikat, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Jika nisbah perdagangan kepada GDP menurun, ia akan memberi kesan ekonomi dan strategik yang serius, menghambat pertumbuhan ekonomi dan menyebabkan masalah sosial serta politik.

“Dunia akan memasuki era baru yang belum pernah dilihat sejak Perang Dunia Kedua,” kata mantan perdana menteri itu pada 24 Mac, menambah bahawa ia mungkin “titik peralihan seterusnya.”

Encik Lee berkata Singapura berharap perdagangan dunia terus berkembang, walaupun dengan ketidakpastian yang ada.

Ini bukan hanya untuk menyokong industri maritim, tetapi untuk meningkatkan kehidupan yang lebih baik di seluruh dunia, lapor The Straits Times (ST).

Singapura harus memastikan perdagangan antarabangsa berkembang dan menjadikan ekonomi serta industri maritimnya lebih cekap, kompetitif, dan dipercayai supaya Singapura boleh terus maju, tambah Encik Lee di Pusat Konvensyen Suntec Singapura.

Sekitar 60 tahun lalu, ekonomi Singapura telah berkembang seiring dan bersama globalisasi. Dunia aman dan stabil, dengan Amerika dan sekutunya menyokong aturan global, kata Encik Lee.

Institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditubuhkan dan perjanjian antarabangsa diterima, termasuk undang-undang laut.

Negara besar dan kecil menerima peraturan ini, dengan pemahaman bahawa perdagangan bebas memberi manfaat kepada semua, termasuk Singapura dan China.

Menurut Encik Lee, dunia hari ini berbeza kerana sikap terhadap perdagangan telah berubah dan ketegangan geopolitik memberi tekanan pada sistem perdagangan global.

Negara-negara kini lebih risau untuk mendahului satu sama lain.

Selain cabaran rantaian bekalan, sekatan dikenakan untuk mengekalkan kelebihan negara, termasuk pelaburan, data, mineral kritikal, dan cip semikonduktor.

Amerika kini menggunakan tarif untuk melindungi kepentingannya, kata Encik Lee. Negara lain turut bertindak balas, mengubah landskap perdagangan dunia.

Pada awal 2025, Presiden Amerika, Encik Donald Trump mengenakan cukai import baru terhadap Canada, Mexico, dan China, yang membalas dengan tarif mereka sendiri.

Industri maritim terkesan, dengan negara mengurangkan pergantungan pada pesaing dalam penghantaran barang dan pembinaan kapal, tambah Encik Lee.

Selain tekanan pada sistem perdagangan, perubahan iklim juga mengubah perdagangan global.

Cuaca ekstrem menjejaskan laluan perdagangan sedia ada, seperti kemarau yang menurunkan paras air di Terusan Panama dan pembukaan Laluan Timur Laut akibat pencairan ais Artik.

Industri maritim, sebagai pengeluar utama karbon, kini berusaha mengurangkan pengeluaran melalui bahan api hijau dan kapal lebih cekap.

“Ini mungkin berlaku melalui cukai karbon pada bahan api atau cukai penyesuaian sempadan karbon, yang akan mengubah rantaian bekalan dan laluan perdagangan,” kata Encik Lee.

Singapura melabur dalam teknologi hijau dan bahan api alternatif untuk industri maritim, serta melatih pekerja untuk mengendalikannya.

Perubahan global memberi impak besar kepada Singapura.

“Perdagangan adalah soal kelangsungan hidup bagi kami,” kata Encik Lee, sambil menambah industri maritim juga penting untuk ekonomi.

Walaupun globalisasi menghadapi cabaran, perdagangan tetap diperlukan antara negara. Lebih 80 peratus populasi dunia, termasuk Singapura, bergantung kepada import makanan.

“Dengan perancangan yang betul, kita berpeluang untuk terus berkembang,” kata Encik Lee.

Minggu Maritim Singapura ke-19 dihadiri lebih 20,000 peserta dari hampir 80 negara, dari 24 hingga 28 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg