Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, dikenali kerana mempunyai pelbagai kelebihan.

Salah satu sifat popularnya adalah kehadiran media sosialnya yang kuat.

Selain berkongsi mengenai politik dan perkembangan setempat, Encik Lee juga sering memuat naik detik santai daripada hariannya di pelbagai wadah seperti Instagram, Facebook, Telegram dan WhatsApp.

Salah satu siri popularnya, Guess Where, menampilkan foto yang diambilnya di pelbagai tempat untuk diteka oleh pengikut media sosial di mana gambar tersebut dipetik.

Bagi menandakan 14 tahun di media sosial dan edisi terbaru Guess Where pada 20 April, Encik Lee mendedahkan 14 foto yang belum pernah disiarkan sebelum ini.

Ia memaparkan lokasi ikonik di Singapura seperti Singapore Flyer dan Kebun Bunga Singapura, serta bandar seperti Cape Town di Afrika Selatan dan Washington DC di Amerika Syarikat.

Sebahagian foto tersebut diambil ketika beliau pergi bersiar-siar atau semasa lawatan kerja ke luar negara.

Foto tersebut dimuat naik sekitar 9.30 pagi. Para pengikut diberi masa sehingga tengah hari untuk meneka sebelum beliau mendedahkan jawapannya di Facebook.

Pelekat Telegram baru yang menggunakan foto terkini yang ditambah ke dalam pek pelekatnya, memaparkan Encik Lee dalam pelbagai gaya dan raut wajah.

Encik Lee menulis: “Selama bertahun, saya telah berkongsi banyak foto di Guess Where, detik yang menarik perhatian saya semasa bersiar-siar, lawatan kerja dan waktu rehat yang tenang di antara kesibukan.”

“Bagi menandakan 14 tahun saya di media sosial, saya telah berkongsi 14 foto yang belum pernah disiarkan daripada galeri kamera saya di Facebook. Berapa banyak yang anda dapat kenal pasti?

“Anggota termuda dalam pasukan saya juga telah memperbaharui pek pelekat Telegram saya, menggunakan foto terkini. Saya harap anda dapat menikmatinya.”