Singapura dan Brunei sekali lagi mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan hubungan kuat antara rakyat.
Ini selepas Menteri Pertahanan Encik Chan Chun Sing bertemu Menteri di Pejabat Perdana Menteri Brunei Darussalam dan Menteri Pertahanan Kedua, Pehin Datu Lailaraja Jeneral Mejar (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi Bin Haji Mohd Yussof pada 22 Ogos.
Ini dinyatakan Kementerian Pertahanan (Mindef) dalam satu kenyataan media pada 22 Ogos.
Encik Chan juga telah memeriksa Kawalan Kehormat di Kementerian Pertahanan Brunei pada 22 Ogos.
“Semasa pertemuan itu, kededua menteri juga sekali lagi mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan hubungan kuat antara rakyat dan akur akan kejayaan Program Interaksi Pertahanan Muda Brunei (JDIP) yang baru berakhir,” kata Mindef.
Di peringkat berbilang hala, kededua menteri berbincang tentang kerjasama rapat pada platform berbilang hala serantau seperti Mesyuarat Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dan ADMM-Plus.
Kededua menteri kemudian turut akur bahawa perkembangan geopolitik yang berlarutan dan menekankan akan perlunya Singapura dan Brunei untuk bekerja rapat bersama.
Lawatan Encik Chan ke Brunei menggariskan hubungan pertahanan yang erat dan lama antara Singapura dan Brunei.
“Kedua-dua kementerian pertahanan berinteraksi secara kerap melalui lawatan peringkat tinggi, pertukaran profesional, kehadiran silang kursus dan latihan dua hala.
“Interaksi sedemikian telah meningkatkan profesionalisme dan mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu lagi.
Singapura dan Brunei juga akan meraikan ulang tahun ke-50 hubungan pertahanan mereka pada 2026.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg