Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sumbangan SM Lee kepada Jepun diiktiraf melalui anugerah cemerlang

Terima Anugerah Grand Cordon of the Order of the Rising Sun sewaktu lawatan kerja, atas jasa perkukuh hubungan dua negara
Aug 20, 2025 | 6:00 PM
Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong, akan menerima anugerah ‘Grand Cordon of the Order of the Rising Sun’ daripada kerajaan Jepun semasa lawatannya ke Jepun dari 21 hingga 27 Ogos.
Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong, akan menerima anugerah ‘Grand Cordon of the Order of the Rising Sun’ daripada kerajaan Jepun semasa lawatannya ke Jepun dari 21 hingga 27 Ogos. - Foto fail

Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, akan membuat lawatan kerja ke Osaka dan Tokyo, Jepun dari 21 hingga 27 Ogos.

Semasa di sana, Encik Lee akan bertemu Perdana Menteri Jepun, Encik Ishiba Shigeru, bagi menerima Anugerah Grand Cordon of the Order of the Rising Sun, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 20 Ogos.

“Menjelang ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik pada 2026, lawatan Menteri Kanan Lee membina momentum kukuh pertukaran peringkat tinggi antara Singapura dan Jepun, dan mengesahkan semula hubungan rapat dan terjalin lama antara kedua-dua negara,” kata PMO.

Anugerah buat Encik Lee itu kali pertama diumumkan pada April oleh Kedutaan Jepun di Singapura menerusi media sosial.

Dalam hantaran itu, ia menyatakan Encik Lee telah membuat “sumbangan penting dalam mengukuhkan hubungan dan mempromosikan persahabatan antara Jepun dengan Singapura” sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri Singapura dari 2004 hingga 2024.

Anugerah Order of the Rising Sun telah diperkenalkan pada 1875 untuk mengiktiraf individu yang telah membuat sumbangan terbilang kepada Jepun dan rakyatnya.

Penerima anugerah penghormatan ini, dalam kalangan warga Singapura sebelum ini, termasuk Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee Kuan Yew, pada 1967; mantan Duta Singapura ke Jepun, Encik Lim Chin Beng, pada 2004; Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong pada 2011; dan mantan Timbalan Perdana Menteri, Profesor S. Jayakumar, pada 2012.

Semasa lawatannya ke Jepun, Encik Lee juga akan bertemu dengan pemimpin politik dan perniagaan Jepun, dan berinteraksi dengan rakyat Singapura yang berada di Osaka dan Tokyo.

Beliau diiringi Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pendidikan), Cik Jasmin Lau; serta Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Undang-Undang), Encik Eric Chua.

Beliau turut diiringi pegawai dari Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan PMO.

Di Osaka, Encik Lee juga akan menjadi Tetamu Kehormat bagi Sambutan Hari Kebangsaan Singapura di Ekspo 2025 – sebuah acara yang menghimpunkan orang ramai dan inovasi dari serata dunia untuk menangani isu yang dihadapi manusia pada skala sejagat

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg