Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, menyeru rakyat Singapura supaya terus bersatu padu dan berpandangan ke hadapan dalam melangkah masuk ke tahun baru 2026, sedang negara ini turut merenung kembali tahun 2025 yang dilambang oleh tanda-tanda ekonomi yang menggalakkan dan pencapaian nasional yang penting.
Dalam mesej Tahun Baru Encik Lee di Facebook pada 31 Disember, beliau berkata Singapura mempunyai banyak perkara untuk disyukuri – daripada prospek ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan hingga ke prestasi cemerlang atlet Team Singapore di Sukan SEA.
Beliau juga menekankan bahawa bagi ramai rakyat Singapura, 2025 merupakan tahun yang memberi peluang untuk bersama keluarga tercinta dan mencapai matlamat peribadi.
Namun begitu, Encik Lee turut menekankan tentang cabaran yang perlu diharungi di hadapan.
Merujuk kepada Amanat Tahun Baru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, beliau berkata:
“(Ia) mengingatkan kita bahawa masih banyak tugas yang menanti – menangani ketidaktentuan global dan mempertingkat kehidupan di tanah air supaya rakyat kita dapat terus hidup dengan baik dan menua dengan sejahtera.”
Dalam Amanat Tahun Baru beliau, Encik Wong berkata bahawa pemerintah akan tetap memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu kehidupan rakyat, meskipun sedang negara ini memandang ke luar bagi mencari lebih banyak peluang ekonomi baru.
Hal ini akan dilakukan dengan membantu setiap pekerja berkembang maju dalam kerjaya mereka, di samping meningkatkan keperluan asas kehidupan seperti pendidikan, perumahan dan penjagaan kesihatan agar setiap rakyat Singapura berasa selamat dan tenang, tambah beliau.
Encik Wong juga berkata strategi bagi mengkaji bagaimana warga emas dapat bekerja secara bermakna dalam persekitaran kerja yang mesra usia, juga sedang dijalankan.
Sementara itu, Encik Lee menambah bahawa sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura yang ke-60 (SG60) pada 2025 telah berakhir dengan pameran Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura yang Bukan Rahsia.
Pameran tersebut mengimbas kembali bagaimana Singapura bermula, dan mengapa rakyatnya tidak boleh mengambil remeh kejayaan serta keupayaannya untuk terus bertahan, kata Encik Lee.
Pameran yang berlangsung di aras 10 Bangunan Perpustakaan Negara, adalah berdasarkan buku Fail Albatross: Di Sebalik Perpisahan setebal 488 halaman dan telah dirasmikan secara serentak oleh Encik Lee pada 7 Disember.
Mengakhiri mesej Tahun Barunya itu, Encik Lee berkata:
“Menjelang 2026, saya berharap rakyat Singapura akan terus bersatu padu, saling mengambil berat antara satu sama lain, dan terus membina sebuah negara yang makmur serta berdaya tahan untuk tahun-tahun mendatang.
“Selamat Tahun Baharu kepada anda dan orang-orang tersayang!”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg