Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: PAP perlu kekalkan kedudukan agar S’pura terus maju

Akur keinginan meningkat rakyat mahu dengar lebih banyak suara alternatif di Parlimen
Jul 27, 2025 | 7:52 PM
PAP, SM Lee, keyakinan rakyat Singapura
Berucap di majlis makan malam Hari Kebangsaan yang diadakan di Serangoon pada 26 Julai, Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, berkata parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), terus menunjukkan hasil yang baik dan masih mendapat keyakinan rakyat Singapura. - Foto MDDI

Dengan pembangkang yang kekal hadir dalam politik Singapura, parti pemerintah perlu mengekalkan kedudukannya dan terus meraih sokongan pengundi agar republik ini “dapat terus maju”, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong.

Jika tidak, ia akan menjadi lebih sukar untuk mentadbir negara dengan baik dan mendapatkan sokongan terhadap dasar-dasar yang penting untuk memastikan kelancaran tadbir urus dan kemajuan negara, tambah Encik Lee.

Berucap di majlis makan malam Hari Kebangsaan di Serangoon pada 26 Julai, Encik Lee berkata parti pemerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP), terus menunjukkan keputusan yang baik dan masih mendapat keyakinan rakyat Singapura.

“Tetapi pada masa yang sama, selepas sekian lama menikmati keamanan, kemakmuran dan kemajuan, keinginan (rakyat) untuk mendengar lebih banyak suara alternatif di Parlimen semakin meningkat,” katanya.

“Bilangan Anggota Parlimen (AP) pembangkang juga telah bertambah, dan sentimen ini – saya fikir ia sesuatu yang agak semula jadi dan boleh difahami.”

Selepas Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Parlimen ke-15 Singapura yang akan bersidang buat pertama kali pada 5 September, akan mempunyai 12 AP pembangkang termasuk dua Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP). 

Pembangkang turut memenangi 12 kerusi dalam GE2020, lapor The Straits Times (ST).

“Pendapat saya adalah: Pembangkang akan kekal hadir dalam politik Singapura. Namun, untuk memastikan Singapura dapat terus maju, pemerintah perlu terus mengekalkan kedudukannya, serta memenangi undi dan kerusi dalam pilihan raya.

“Kerana jika tidak, pada satu masa nanti, ia akan menjadi lebih sukar untuk kami membentuk pasukan, lebih sukar untuk mentadbir Singapura dengan baik, dan lebih sukar untuk mendapatkan sokongan terhadap dasar-dasar yang diperlukan bagi memastikan negara berfungsi (dengan baik) dan terus berkembang,” ujar Encik Lee.

Beliau memberi amaran bahawa apabila keadaan itu berlaku, mutu pemerintah akan turut “merosot” dan masa depan negara akan terjejas.

“Anda boleh mengundi lebih ramai AP pembangkang untuk mengawasi pemerintah... tetapi apabila anda memilih jalan itu, anda sedang menuju ke arah yang salah,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyeru agar keseimbangan yang tepat dicapai antara memperkukuh suara alternatif dalam Parlimen dan menyokong serta mengundi sebuah pemerintah yang berkesan.

“Sebuah pemerintah yang akan memberikan (khidmat dengan) tahap prestasi tinggi dan hasil yang baik, yang sudah menjadi kebiasaan dan harapan rakyat Singapura daripada pemerintah; pemerintah yang sanggup mengambil keputusan sukar tetapi diperlukan untuk menjamin masa depan negara dalam jangka panjang, terutama dalam dunia yang penuh cabaran hari ini,” kata Encik Lee untuk menjelaskan maksud pemerintah yang berkesan.

Tambahnya, beliau senang hati kerana rakyat Singapura memahami perkara ini dan memberikan mandat kukuh kepada PAP dalam pilihan raya pada 3 Mei.

Parti pemerintah memperoleh 65.57 peratus undi popular, meningkat daripada 61.24 peratus dalam GE2020.

“Kini pilihan raya telah selesai, tidak penting siapa yang anda undi dalam pilihan raya tersebut,” kata Encik Lee, serta memberi jaminan kepada rakyat Singapura yang pemerintah “akan terus menjaga kebajikan semua rakyat, tidak kira di mana kawasan anda tinggal atau parti mana yang anda undi”.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg