SM Lee: Rakyat perlu bekerjasama tangani ketidaktentuan susulan tarif Trump

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SM Lee: Rakyat perlu bekerjasama tangani ketidaktentuan susulan tarif Trump

Apr 6, 2025 | 3:03 PM

SM Lee: Rakyat perlu bekerjasama tangani ketidaktentuan susulan tarif Trump

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah, berbaju merah), ditemani Anggota Parlimen (AP) Kebun Baru, Encik Henry Kwek (berbaju putih) di Karnival Ahad Kebun Baru, pada 6 April.
Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong (tengah, berbaju merah), ditemani Anggota Parlimen (AP) Kebun Baru, Encik Henry Kwek (berbaju putih) di Karnival Ahad Kebun Baru, pada 6 April. - Foto ZAOBAO

Dunia telah berubah secara keseluruhan dan rakyat Singapura perlu bekerjasama untuk menangani ketidaktentuan, kata Menteri Kanan (SM), Encik Lee Hsien Loong pada 6 April.

“Di Singapura, kita mesti berganding bahu sebagai satu rakyat dan bekerja rapat dengan pemerintah,” kata SM Lee semasa berucap di Karnival Ahad Kebun Baru.

“Bersatu, bertekad dan terus berjuang, dan tidak terpengaruh dengan idea pelik atau ambil huraian dengan pendekatan berlembut – (seperti) tak perlu buat sekarang, kita boleh tangguh dulu masalah, atau kita biarkan untuk nanti, orang lain boleh fikirkan masalah itu. Masa depan kita adalah masalah kita,” tambah beliau.

Dalam ucapannya, SM Lee merujuk kepada tarif besar-besaran yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump ke atas banyak negara, termasuk Singapura, lapor The Straits Times (ST).

“Ini akan menjejas perdagangan kita, ekonomi, rantau, dan masa depan kita. Dan ini bukan berita baik,” katanya.

Ucapan SM Lee itu dibuat menyusuli kenyataan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong menerusi video di media sosialnya pada 4 April, yang berkata Singapura harus bersiap sedia menghadapi lebih banyak kejutan pada masa akan datang.

“Sebab itulah PM Wong buat video di Facebook untuk menjelaskan kesan perubahan ini kepada Singapura, betapa seriusnya keadaan ini, bagaimana dunia sudah berubah sepenuhnya dan apa kesannya terhadap keselamatan kita, anak-anak kita, serta masa depan kita,” tambah SM Lee.

Semasa sesi lawatan di karnival tersebut, para penduduk menyambut ketibaan SM Lee dengan tepukan ketika beliau naik ke pentas untuk berucap tentang kepentingan bekerjasama demi mengekalkan keselamatan dan kemakmuran Singapura dalam dunia yang penuh cabaran.

SM Lee turut berkata sambutan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60) ialah detik untuk rakyat terus melangkah ke hadapan dan membina negara lebih baik, agar Singapura kekal selamat, berjaya dan terus menjadi kebanggaan rakyat.

“Ada rasa hormat, ada rasa bangga, dan ada masa depan untuk kita – kerana orang tahu anda datang dari Singapura.

“Anda bukan sekadar seorang individu, anda adalah sebahagian daripada pasukan Singapura,” kata SM Lee.

Terdahulu, SM Lee meluangkan masa berjalan di sekitar Pasar dan Pusat Makanan Kebun Baru, di mana ramai penduduk menyambut beliau dan beratur untuk bergambar bersama.

Beliau turut beramah mesra dengan para peniaga di pasar, kedai runcit dan pusat penjaja, sebelum meneruskan perjalanan ke karnival.

Menurut Anggota Parlimen (AP) Kebun Baru, Encik Henry Kwek, sekitar 4,000 orang telah menempah tempat untuk hadir ke acara tersebut.

SM Lee berkata: “Dalam masa kita bergembira pagi ini, kita perlu ingat, beginilah keadaan dunia sekarang. Kita berasa gembira dan selamat kerana kita telah berusaha keras.”

Beliau menggesa penduduk supaya terus bekerjasama dengan satu sama lain dan pemerintah. 

“Undilah pemimpin yang boleh dipercayai, yang akan menjaga kebajikan anda dan membawa Singapura maju ke hadapan,” tambah beliau.

Mengenai pembangkang di kawasan itu, Encik Kwek berkata: “Pilihan raya adalah mengenai persaingan dan saya fikir apa yang penting bukan hanya sembilan hari berkempen, malah lima tahun kerja yang konsisten dan dedikasi.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg