Dalam gelombang ketidakpastian dan kegelisahan perdagangan seluruh dunia, inisiatif kerjasama yang dulunya dianggap saling menguntungkan tidak lagi boleh dipandang ringan.

Kini, setiap negara perlu berusaha keras untuk memastikan “manfaat bersama” dicapai, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, pada 19 Mei.

“Ini adalah masa yang sangat tidak menentu dan penuh masalah, dengan banyak ketidaktentuan, banyak konflik dan percanggahan,” katanya di ibu kota Guangxi, Nanning, pada hari kedua lawatan lima harinya ke China.

“Dan perdagangan, yang dahulunya merupakan urusan saling menguntungkan antara negara, kini telah bercampur aduk dengan pertimbangan keselamatan, ketahanan, persaingan, serta kebimbangan tentang kerentanan. Terdapat juga tanda tanya sama ada ia sentiasa saling menguntungkan,” katanya.

“Saya rasa jika kita jujur, kita perlu akui bahawa ia tidak sentiasa saling menguntungkan, tetapi kita perlu berusaha untuk menjadikannya saling menguntungkan. Dan antara Singapura dengan China, serta antara China dengan rantau Asean, saya rasa potensi untuk kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan dalam perdagangan dan pelaburan, serta dalam banyak bidang lain, adalah cukup besar,” tambahnya.

Encik Lee menyampaikan pandangan itu sewaktu pertemuan dengan Setiausaha Parti Komunis China bagi Jawatankuasa Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Encik Chen Gang.

Beliau turut menonjolkan Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu (ILSTC) sebagai bukti kejayaan, dan “landasan terbaik untuk melangkah lebih jauh.”

Koridor perdagangan yang dilancarkan pada 2017 itu berfungsi sebagai penghubung penting antara wilayah barat China dengan Singapura dan Asia Tenggara.

Encik Lee berkata koridor itu telah memberikan pembangunan Guangxi dan hubungannya dengan Singapura dan Asean “lonjakan yang ketara.”

Ketika berucap, Encik Chen menyatakan bahawa koridor perdagangan itu semakin penting dalam sektor logistik di barat China.

Beliau menambah bahawa pembukaan Terusan Pinglu yang baharu, yang dijadualkan siap pada September 2026, akan mewujudkan laluan terus untuk kapal kargo dari sungai-sungai di barat daya China ke Laut China Selatan, sekali gus meningkatkan lagi hubungan perdagangan.

Laluan Terusan Pinglu akan membawa kapal melalui laluan yang menghampiri Vietnam, manakala sesetengah penghantar sebelum ini terpaksa membuat peralihan melalui Guangdong. 

Encik Chen berkata pada awal pertemuan itu bahawa beliau akan membincangkan tiga perkara dengan Encik Lee: Terusan Pinglu dan koridor perdagangan; mutu pembinaan terusan itu; dan bagaimana kedua-dua laluan itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada barat daya China, malah juga kepada Singapura dan negara Asean yang lain.

Selepas pertemuan di Liyuan Resort di Nanning, Encik Lee diraikan dengan jamuan makan malam oleh Encik Chen.

Terdahulu pada hari yang sama, Menteri Kanan itu telah meninjau Taman Logistik Antarabangsa Nanning China-Singapura (CSILP), sebuah hab penting yang menggabungkan beberapa fungsi antaranya, penyimpanan, pengangkutan, perdagangan, dan kewangan.

Taman seluas 260 hektar ini, yang dilancarkan pada 2018, mencatat pelaburan melebihi 10 bilion yuan ($1.9 bilion).

Ia diuruskan oleh Singapore-Guangxi Integrated Development, sebuah usahasama dengan pelaburan daripada syarikat pengangkutan kontena Singapura, Pacific International Lines (PIL).

Pengerusi CSILP, Encik Teo Siong Seng, menyatakan bahawa perdagangan antara China dengan Asean terus berkembang di tengah-tengah ketegangan geopolitik dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan perdagangan Singapura-Guangxi meningkat sebanyak 20 peratus.

Pada 2025, nilai perdagangan dua hala antara Singapura dengan Guangxi mencapai 13.8 bilion yuan. Pelaburan terkumpul Singapura di Guangxi mencecah AS$1.3 bilion ($1.67 bilion), dengan 30 projek baharu diwujudkan pada tahun itu.

Encik Teo, yang juga merupakan pengerusi eksekutif PIL dan pengerusi Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF), memberitahu wartawan bahawa Asean kekal sebagai “blok perdagangan yang paling digemari dan paling stabil” di tengah-tengah cabaran geopolitik.