Singapura boleh terus bertahan dan maju dalam dunia yang bergolak ini dengan berpegang kepada dua faktor asas yang membawa negara ini ke tahap sekarang, kata Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong pada 8 Februari.
Pertama, ia perlu mempunyai pemerintah yang kuat dan cekap yang menjangkakan cabaran, meraih kepercayaan orang ramai dan membuat keputusan yang baik untuk menjamin masa depan mereka.
Kedua, rakyat Singapura perlu terus bersatu, memahami dunia yang mereka diami dan cabaran yang mereka hadapi, dan bekerjasama rapat dengan pemerintah untuk merealisasikan impian mereka, katanya.
Encik Lee, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) kawasan Teck Ghee di GRC Ang Mo Kio berucap dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Mandarin pada majlis makan malam Tahun Baru Cina untuk 1,200 penduduk dan tetamu mereka di Kelab Masyarakat Teck Ghee.
Pada 2024, Singapura telah menikmati peralihan kepimpinan yang lancar dan mengembangkan ekonominya sebanyak 4 peratus, manakala inflasi telah merosot, tambahnya.
Tetapi banyak ketidakpastian menanti pada tahun baru, kata Encik Lee.
Selain geopolitik antarabangsa yang tegang dan perbezaan Amerika Syarikat-China yang tidak dapat diselesaikan, pentadbiran Amerika baru mempunyai pendekatan yang sangat berbeza terhadap pemerintah dan dunia, kata SM Lee.
Ia mentakrifkan kepentingan Amerika dengan lebih sempit, dan mengambil pendekatan yang lebih transaksional untuk mencapai objektif segeranya, tambah beliau.
Ia melihat tarif sebagai alat dasar pilihan dan sumber pendapatan luaran, serta cara untuk memaksa negara lain membuat konsesi.
Ia juga menarik diri daripada komitmen pelbagai hala seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim.
“Amerika tidak lagi bersedia untuk menaja jamin aturan global, dan ini menjadikan persekitaran antarabangsa menjadi kurang teratur dan boleh diramal,” kata SM Lee.
“Singapura, seperti semua negara lain, mesti menyesuaikan diri dengan realiti baru ini, walaupun kita berusaha mengekalkan hubungan kukuh dan persahabatan kami dengan Amerika.”
Pemerintah memahami cabaran yang akan datang, dan telah menyusun rancangan untuk membawa Singapura ke hadapan di tengah-tengah ketidaktentuan global, seperti yang dilakukan pada masa lalu, tambahnya.
Dengan kepercayaan dan perkongsian yang kukuh antara pemerintah dan rakyat Singapura selama lebih 60 tahun, negara ini telah dapat mencapai kemajuan yang konsisten sedekad demi sedekad, dan bukannya dengan mengubah haluan setiap beberapa tahun, katanya.
Menurut Encik Lee, dalam tempoh dua tahun lalu, pemerintah telah menyediakan pelbagai bentuk bantuan untuk menyokong rakyat Singapura yang mempunyai kebimbangan kos sara hidup, terutama mereka yang paling memerlukan bantuan.
Ini termasuk baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC), baucar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), rebat U-Save dan baucar pengangkutan awam.
Malah, lebih banyak bantuan boleh dijangka pada Belanjawan akan datang, katanya.
Encik Lee menjelaskan yang perumahan kekal menjadi keutamaan utama sambil menyatakan bahawa Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah menguruskan projek tertunggak ekoran Covid-19, dan berada di landasan tepat untuk melancarkan lebih daripada 100,000 flat menjelang 2025, dalam tempoh lima tahun sejak 2021.
Rangka kerja Standard, Plus dan Prime baru akan membantu memastikan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) dimampui dan tersedia untuk semua, kata beliau.
“Selain isu masa kini, kami melabur banyak untuk masa depan Singapura,” katanya sambil menukil pelaburan dalam pendidikan, latihan dan peningkatan kemahiran supaya belia dan pekerja mempunyai kemahiran untuk kekal berdaya saing dan mendapatkan pekerjaan yang baik, walaupun ekonomi diubah oleh teknologi baru seperti kecerdasan buatan.
Pemerintah juga melabur dalam infrastruktur dan membina Terminal 5 Lapangan Terbang Changi dan Pelabuhan Mega Tuas, yang akan menjadikan lapangan terbang dan pelabuhan bertaraf dunia Singapura lebih baik, kata SM Lee.
Laluan kereta api dan ekspreswe baru juga sedang dibina untuk meningkatkan ketersambungan dan kemudahan, termasuk Laluan Thomson-East Coast, Laluan Cross Island dan Koridor Utara-Selatan di Ang Mo Kio, katanya.
Terdapat juga hospital baru dan kemudahan penjagaan masyarakat seperti Kampus Kesihatan Woodlands untuk menjaga penduduk Singapura yang semakin tua dengan lebih baik.
Long Island – projek penambakan besar-besaran selama beberapa dekad di sepanjang East Coast, akan melindungi negara ini daripada kenaikan paras laut sebaik sahaja siap.
Di peringkat tempatan, kemudahan dan infrastruktur telah dipertingkatkan di GRC Ang Mo Kio dan Teck Ghee, termasuk menaik taraf pusat bandar Ang Mo Kio, kata SM Lee.
‘Jalan Mesra’ baru di sepanjang Ang Mo Kio Street 31 merupakan salah satu kemudahan yang memenuhi keperluan warga emas di Teck Ghee, supaya perjalanan di sekitar estet itu lebih selamat dan mudah.
Terdapat juga stesen MRT Teck Ghee yang baru apabila Laluan Cross Island siap.
Paling penting, Singapura juga melabur dalam fabrik sosialnya melalui Melakar Hala Tuju Singapura (Forward SG), ujar Encik Lee.
Usaha nasional itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong untuk membentuk masa depan negara dan kompak sosialnya.
Program seperti ComLink+ dan Skim Perumahan Permulaan Baru akan merangsang golongan yang terdedah dan meningkatkan mobiliti sosial, kata SM Lee.
Beliau juga menambah bahawa Singapura baru-baru ini melancarkan SGShare, program sumbangan tetap nasional yang dikaitkan dengan SG60 – 60 tahun kemerdekaan negara – dan Dana Masyarakat untuk merangsang semangat sukarelawan dan mengukuhkan ikatan sesama warga Singapura.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg